TIDAK dinafikan, 70 hingga 80 peratus rakyat negara ini mempunyai pandangan yang amat negatif terhadap penghidap HIV dan AIDS. Sememangnya menjadi lumrah bagi golongan yang tidak mempunyai pengetahuan mengenai penyakit HIV dan AIDS ini mempunyai persepsi sebegini rupa.

Hina, berdosa, jijik dan kotor adalah ayat yang biasa didengari apabila menyentuh tentang HIV dan AIDS. Namun, lupakah kita bahawa penghidap HIV dan AIDS juga adalah manusia biasa yang memerlukan perhatian dan bantuan?

Atas asas itu, kita menyambut Hari AIDS Sedunia pada setiap 1 Disember. Tujuannya untuk memberi kesedaran dan maklumat khususnya kepada masyarakat tentang bahaya, cara jangkitan serta langkah-langkah pencegahan penyakit berkenaan.

Dalam pada itu, saya juga berasa amat kagum terhadap usaha keras serta tumpuan khusus pihak kerajaan melalui Kementerian Kesihatan mengekang penularan HIV dan AIDS di Malaysia melalui program-program khas yang telah disusun.

Untuk makluman semua, saya sendiri adalah seorang penghidap HIV sejak 2015 dan kini sedang menerima rawatan di Klinik Kesihatan Cheras, Kuala Lumpur. Di klinik ini, terdapat pelbagai program yang disusun dan ditetapkan khusus untuk penghidap HIV seperti saya.

Lebih istimewa, mereka turut menganjurkan program serupa untuk keluarga penghidap HIV agar mereka (penghidap HIV) mempunyai keyakinan untuk kembali ke pangkuan masyarakat.

Bagi saya apa yang dilakukan oleh kerajaan ini amat baik dan saya ucapkan jutaan terima kasih. Pada masa sama saya juga ingin ucapkan penghargaan kepada Dr. Anita Suleiman yang adalah Ketua Sektor HIV/STI di Kementerian Kesihatan atas kesudian beliau meluangkan masa bersama-sama kami pada Hari HIV peringkat Klinik Kesihatan Cheras, baru baru ini.

Dr. Anita yang mempunyai pengalaman luas lebih 20 tahun dalam bidang kesihatan awam bersama pasukan dipimpin Datin Dr. Noriah Hajib (Pegawai Kesihatan Daerah Cheras) serta pegawai-pegawai perubatan dari Unit HIV, Klinik Kesihatan Cheras adalah antara pihak yang sentiasa berusaha keras memberikan khidmat terbaik kepada penghidap HIV seperti saya.

Sebenarnya saya dan penghidap-penghidap HIV dan AIDS yang lain berasa amat bertuah kerana bukan sahaja diberikan rawatan terbaik bertaraf dunia malah pakar-pakar serta pegawai-pegawai perubatan kita tidak pernah berputus asa menghapuskan stigma negatif yang sering dilemparkan kepada penghidap HIV dan AIDS.

Syabas juga saya ucapkan kepada R.Manivannan selaku Ketua Panel Penasihat Klinik Kesihatan Cheras atas bantuan dan kata-kata semangat beliau kepada kami. Sesungguhnya, kami berasa amat berterima kasih atas usaha murni yang ditunjukkan beliau.

Malah, tidak keterlaluan sekiranya saya katakan program HIV/AIDS di Klinik Kesihatan Cheras ini adalah yang terbaik dan wajar dijadikan contoh kepada perkhidmatan kesihatan di klinik kesihatan lain dalam usaha mencapai misi visi kerajaan ending AIDS 2030.

Ucapan terima kasih yang tidak terhingga buat pasukan jururawat, pegawai farmasi, kaunselor, penolong pegawai perubatan di Bilik Anggerik serta sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Kuala Lumpur AIDS Service Society (Klass) atas sokongan moral, masa dan tenaga bagi membantu kami selama ini.

Hanya Tuhan yang mampu membalas jasa baik kalian terhadap kami. Teruskan usaha murni ini. Abaikan segala persepsi negatif yang dilemparkan kepada anda semua dalam usaha membantu penghidap HIV dan AIDS. Bagi kami anda semua adalah hero. Anda adalah contoh penjawat awam terbaik yang pernah kami temui. Tanpa anda kami tidak akan dapat merasai perkhidmatan kesihatan terbaik di negara sendiri.

Saya juga amat berharap masyarakat di luar sana tidak lagi memandang sinis terhadap golongan seperti kami. Apa yang kami perlukan adalah doa dan sokongan. Inilah harapan kami.

BOY

Kuala Lumpur