Pada mulanya memang saya tidak menghiraukannya kerana menganggap semua ini adalah sepak terajang politik, tambahan pula setelah Barisan Nasional (BN) tumbang dan Pakatan Harapan (PH)ambil alih pentadbiran negara.

Saya sendiri sebagai penyokong PH sukar mempercayai apa sahaja tuduhan terhadap PH. Namun, semua tanggapan saya itu meleset dan diakui saya amat menyesal.

Baru-baru ini saya pergi membeli barangan termasuk makanan di sebuah pasar raya besar dan terkejut apabila melihat bil.

Harga yang dipamerkan belum termasuk SST. Apabila hendak membayar harga barangan tersebut, harganya lebih tinggi setelah dicampurkan dengan SST.

Saya terkejut juga kerana sebelum ini ketika membeli barangan di pasar raya sama, harga barangan yang dipamerkan termasuk GST. Tapi kini keadaan amat berubah.

Kalau hendak membeli-belah, perlu disediakan wang tambahan kerana harga yang dipamerkan tidak termasuk SST.

Dengan kata lain, harga dikenakan memang tinggi. Menyesal tak sudah. Saya memang terasa beban yang sangat.

Saya harap kerajaan haruslah memikirkan semula cukai-cukai yang dikenakan kepada rakyat. Tolonglah jangan bebankan rakyat.

Carilah mekanisme terbaik untuk membantu mengurangkan beban hidup rakyat.

WARGA TUA

Selangor