Ini semua adalah sunnahtullah, tidak dapat di elakkan dan menjadi lumrah serta sesuatu yang pasti akan berlaku kepada sesiapa pun selagi kita bernama manusia.

Tujuan manusia dan sekalian makhluk diciptakan di muka bumi ini adalah untuk taat, patuh dan tunduk kepada segala kekuasaan dan kemahuan Allah.

Manusia tidak berdaya untuk berkemahuan sendiri bahkan kalau berkemahuan sekalipun tetap bergantung kepada keputusan dan kemahuan Allah juga.

“Padahal Allahlah yang menciptakan kamu dan apa-apa yang kamu perbuat itu.” (Surah As-Shaffat ayat 96)

Penyakit adalah salah satu dari sunnahtullah yang tidak dapat dibantah oleh manusia. Allah turunkan penyakit supaya manusia kembali kepada-Nya dengan hati yang penuh patuh dan taat mengaku akan kudrat serta iradat-Nya.

Penyakit menyebabkan manusia mencari jalan mengubatinya dan dengan izin Allah jua penyakit itu dapat disembuhkan.

Cara mengubati itu ada bermacam-macam maka terpulanglah kepada individu tersebut untuk memilih perubatan yang sesuai dengan kemampuan serta keserasian masing-masing.

Kita sungguh beruntung kerana di negara ini segala bentuk kaedah pengubatan terbuka luas untuk dipilih oleh sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa dan agama.

Pilihlah perubatan apa sahaja bahkan pengubatan secara rukyah, tradisional dan komplementari juga tersedia di merata tempat di negara ini.

Hakikat yang perlu diketahui kita semua ialah penyembuhan sesuatu penyakit itu adalah hak mutlak Allah yang menciptakan manusia dan penyakit itu sendiri.

Bila seseorang jatuh sakit maka wajiblah kita mencari ubat supaya kesihatan hidup dapat dikekalkan bagi menjalankan kehidupan ini dalam keadaan normal.

Seseorang dikatakan sembuh jika penyakit yang dihidapinya telah hilang dari segi rupa, rasa dan kesannya.

Bila seseorang manusia sudah sedar bahawa penyakit adalah suatu ‘anugerah’ yang membawa maksud tertentu terhadap dirinya maka akan damailah perasaannya menerima penyakit tersebut.

Meskipun rupa dan rasa penyakit itu belum hilang sepenuhnya, namun bila hatinya sudah tenang dan reda menerima ketetapan dan ketentuan Allah secara patuh tanpa bantahan, itulah yang disebut sebagai penyembuhan yang sebenar.

Selagi manusia tidak mahu menerima bahawa keberadaannya di dunia ini adalah untuk tunduk dan patuh kepada perintah Allah, maka selagi itulah manusia berada dalam ‘keadaan sakit’ tanpa di sedari.

Contohnya, bila manusia berkehendak tanpa menyedari bahawa ia adalah kehendak Yang Maha Kuasa, maka akan menderitalah batin manusia itu jika kehendaknya tidak tercapai sebab tidak menyamai apa yang dikehendaki Allah.

Batin yang menderita itu sebenarnya satu bentuk penyakit. Jiwa yang menderita itu sebenarnya adalah jiwa-jiwa yang sakit.

Oleh yang demikian, fahamilah bahawa penyembuhan yang sebenar adalah terletak pada jiwa yang tenang. Jiwa yang tenang adalah jiwa yang tunduk patuh serta taat tanpa membantah apa saja yang di takdirkan Allah kepada dirinya.

DR. FARIDAH HAMZAH
Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim) Negeri Sembilan