Saya sering menggunakan laluan di hadapan Pavilion dan jelas sekali kesesakan berlaku apabila ada pemadu teksi ‘biru’ meletakkan kenderaan mereka di tepi sebelah kanan jalan utama.

Mereka meletakkan kenderaan sekian lama semata-mata mahu menunggu pelanggan datang. Selagi belum ada penumpang mencari mereka, selagi itulah teksi itu kekal di situ.

Disebabkan sifat segelintir pemandu teksi biru ini, jalan raya di kawasan itu menjadi sesak dan menyusahkan pengguna lain. Jalan yang asalnya empat lorong menjadi tiga lorong.

Bila lagi pemandu teksi nak berubah sikap? Saya menggesa pihak berkuasa seperti polis trafik, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan tegas.

Jangan setakat menghalau tetapi hendaklah keluarkan saman juga. Setakat halau, mereka akan datang balik dan lakukan perkara sama.

Juga, keraplah buat rondaan dan pemantaun di kawasan berkenaan. Jika polis. JPJ dan DBKL gagal bertindak maka kawasan Bukit Bintang tidak sesuai lagi dijadikan pusat membeli-belah.

PEMANDU BERDISIPLIN

Gombak