Dia membuat gesaan itu kerana sesetengah wartawan mempunyai pengalaman luas dalam era media massa berbanding menteri PH yang kebanyakan masih baharu.

A. Kadir yang juga Penasihat Media dan Komunikasi Pejabat Perdana Menteri berkata, beliau tidak mahu wartawan terikut-ikut sesetengah menteri yang tidak pandai berhujah dan belum tahu apa-apa maklumat.

“Wartawan boleh menjadi ‘guru’ dengan berkongsi pengalaman yang ada pada mereka.

Contohnya, di sesetengah kementerian, sidang akhbar dilakukan sebulan sekali, namun tidak dilakukan sekarang.

Wartawan berhak memaklumkannya kepada menteri atau setiausaha akhbar menteri.

“Saya tidak mahu wartawan disekat, diherdik dan dipandang ringan oleh mana-mana menteri PH.

Malah, saya ingin melihat kedua-dua pihak saling bantu-membantu,” kata A. Kadir selepas menghadiri Persidangan Serantau Persatuan Komunikasi Antarabangsa anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sesungguhnya, perkara ini bukan sahaja berlaku kepada menteri Kabinet pentadbiran yang lalu.

Untuk makluman semua, ada dalam kalangan menteri Kabinet dahulu dan sekarang, banyak bersikap sombong dan ego kerana merasakan mereka adalah manusia lain daripada yang lain.

Percayalah, barisan menteri Kabinet dahulu dan sekarang adalah manusia biasa.

Mereka akan terus membuat pelbagai kesilapan ketika dalam ucapan dan gerak kerja masing-masing di mana-mana sahaja sebaik sahaja jumpa pengundi yang berada di bawah pentas.

ABD. RAZAK OSMAN

Sungai Petani, Kedah