Kejadian 4 November 2016 menyaksikan sepasang suami isteri terkorban selepas kren statik tumbang menghempap kereta dinaiki mereka di Persiaran Astana, Meru, Klang, Selangor, manakala seorang wanita maut selepas kereta dipandunya dihempap besi penyangkut kren yang terjatuh di Jalan Raja Chulan, Bukit Bintang, 25 Ogos tahun lalu.

Sebahagian besar punca tragedi dikenal pasti kerana pematuhan undang-undang keselamatan industri tidak dititikberatkan oleh pelbagai pihak terbabit dalam industri pembinaan. Sikap tamak pemaju mengutamakan keuntungan sehingga sanggup mengetepikan faktor keselamatan pekerja dan orang awam juga antaranya.

Apa yang pasti, sikap yang didorongi desakan akibat krisis ekonomi melanda dan keperluan memenuhi tuntutan pekerjaan itu telah mengambil risiko yang amat tinggi untuk dikompromi.

Di bawah Akta Kilang dan Jentera 1967, pemaju dikehendaki memastikan kren diselenggara dan dipasang oleh syarikat kompeten di bawah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) dan JKKP mempunyai kuasa memberhentikan pembinaan serta-merta bagi membolehkan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 44 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 untuk merungkai tragedi berpunca daripada kecuaian pemaju.

Hakikatnya, isu itu dapat ditangani sekiranya penguatkuasaan undang-undang dilakukan secara tegas dan berterusan dengan kerjasama padu daripada semua pihak berkaitan.

 

PROF. MADYA DR. ROZANAH AB. RAHMAN

Universiti Putra Malaysia