Nampaknya selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), rakyat banyak disajikan isu-isu seperti itu hingga kerajaan baharu dilihat terlupa untuk membela rakyat terutama golongan pelajar universiti yang bertungkus-lumus menimba ilmu demi masa depan diri, keluarga dan negara.

Menimba ilmu dengan harapan kelak dapat membawa negara ke arah lebih dinamik dan maju.

Namun, semua itu meleset. Ramai pelajar universiti sekarang terkapai-kapai sama ada hendak meneruskan pengajian atau berhenti sahaja.

Tempat di universiti sudah diperolehi namun belajar di universiti bukan percuma dan memerlukan wang ringgit.

Jadi, kenapa kerajaan berdiam diri tidak menawarkan semula biasiswa termasuk Mybrain?

Ramai pelajar ternanti-nanti untuk memohon biasiswa.

Keadaan itu menyebabkan ramai pelajar universiti yang terpaksa meminjam dan berhutang kerana mahu meneruskan pengajian.

Ada juga yang terpaksa ikat perut. Sudahlah baucar buku pun kini tiada lagi. Hendak beli buku yang bernilai beratus-ratus ringgit juga tinggal impian. Bukan semua buku boleh didapati di perpustakaan universiti.

Impian pelajar kini agar kerajaan tawarkan semula biasiswa dan Mybrain.

Rasanya terlalu lama perkara ini didiamkan. Adakah kerana memang tiada duit?

Elok berterus terang supaya golongan pelajar tidak ternanti-nanti dan berharap sangat.

Kepada menteri dan kerajaan, ramai dalam kalangan anda yang pernah meneruskan pengajian di universiti.

Jika anda dari keluarga berada, mungkin tiada masalah wang saku dan perbelanjaan. Namun, cuba fikirkan nasib kami dari keluarga miskin atau kurang berada, mampukah belajar di universiti dengan kos yang tinggi sekarang?

Fikirkan dan cuba-cubalah turun padang. Berdialog dengan pelajar-pelajar universiti. Jangan sekali-kali takut untuk berdialog dengan pelajar universiti. Kami hanya mahukan penjelasan. Malah, kami sedia beri idea untuk anda mentadbir negara lebih berkesan.

PELAJAR JURUSAN SAINS

UIAM Gombak