Islam membenarkan hukuman qisas serta perlaksanaan diyat. Hukuman qisas ialah kesalahan yang dikenakan hukuman balas seperti membunuh dibalas dengan bunuh (nyawa dibalas dengan nyawa), melukakan dibalas dengan melukakan serta mencederakan dibalas dengan mencederakan.

Hukuman diyat pula adalah harta yang wajib dibayar dan diberikan oleh penjenayah kepada wali atau waris mangsanya sebagai ganti rugi disebabkan jenayah yang dilakukan oleh penjenayah ke atas mangsanya.

Hukuman diyat adalah hukuman ­kesalahan yang sehubungan dengan kesalahan qisas dan ia sebagai ganti rugi di atas kesalahan yang melibatkan kecederaan anggota badan atau melukakannya.

Di Malaysia, kaedah pelaksanaan hukuman mati adalah menerusi teknik gantung. Kesalahan membunuh dengan niat, mengedar dadah melebihi jumlah yang ditetapkan dan kesalahan bersabit pemilikan senjata api adalah antara perbuatan yang boleh membawa seseorang penjenayah itu kepada hukuman gantung sampai mati.

Dalam sistem perundangan di Malaysia, seseorang tertuduh itu akan melalui beberapa peringkat perbicaraan terlebih dahulu sebelum hukuman mati dilaksanakan.

Peringkat pertama ialah hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi diikuti Mahkamah Rayuan dan terakhir sekali Mahkamah Persekutuan.

Sekiranya ketiga-tiga peringkat mahkamah ini memutuskan tertuduh bersalah, maka satu rayuan pengampunan terhadap kesalahan akan dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan atau Yang Dipertua Negeri, bergantung di mana kesalahan itu dilakukan.

Keputusan yang diputuskan ini adalah dianggap muktamad dan sekiranya hukuman itu dikekalkan, maka mahkamah akan memerintahkan supaya Jabatan Penjara menjalankan hukuman gantung sampai mati kepada pesalah.

Cadangan pemansuhan hukuman mati ini sudah lama dibuat bukan sahaja dalam negara kita malah hampir di semua negara dalam dunia. Terdapat banyak perdebatan mengenai cadangan ini.

Ada pihak yang menyo­kong pemansuhannya dan ada pihak pula membantah pemansuhannya.

Adalah penting supaya pendapat para ulama dan cerdik pandai Islam diambil kira sebelum cadangan pemansuhan hukuman mati selaras dengan kedudukan agama Islam itu sendiri sebagai agama Persekutuan seperti termaktub di bawah Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW

USIM