Pelaksanaan SST adalah susulan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Jualan 2018 dan RUU Cukai Perkhidmatan 2018 yang telah diluluskan Parlimen pada 20 Ogos lalu.

Berdasarkan perkembangan semasa ini, kerajaan khususnya anggota penguat kuasa yang berkaitan perlu mengambil langkah-langkah bagi mengatasi masalah kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang mendadak khususnya oleh peniaga tamak.

Seperti sudah menjadi satu kelaziman dalam negara kita, setiap kali ada pengumuman cukai mahu pun kenaikan harga petrol maka akan berlaku kenaikan harga barang dan perkhidmatan dengan alasan untuk menampung harga kos operasi.

Jika dilihat sepanjang musim bebas cukai semenjak GST sifar bermula 1 Jun sehingga 31 Ogos lalu, tiada penurunan harga barangan dan perkhidmatan yang ketara.

Malah, baru-baru ini juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution Ismail ada menyatakan terdapat kenaikan harga beberapa restoran tertentu dalam negara kita.

Isu sebegini tidak seharusnya berlaku lebih-lebih lagi selepas kerajaan mengumumkan kadar sifar terhadap GST. Kalau ikut logik, harga semua jenis barangan serta perkhidmatan sepatutnya menunjukkan penurunan walaupun dengan kadar atau jumlah yang sedikit.

Tidak sepatutnya berlaku sebarang kenaikan harga pasca-pengumuman GST pada kadar sifar itu. Tidak dapat dipastikan lagi apa yang akan berlaku selepas cukai SST ini dilaksanakan kelak.

Walaupun kerajaan memberi jaminan tidak akan berlaku sebarang kenaikan mendadak harga barang dan perkhidmatan selepas pelaksanaan SST, adalah menjadi kebimbangan, rakyat akan terus menjadi mangsa penipuan sesetengah peniaga yang tidak bertanggungjawab.

Golongan tamak dan penipu ini sentiasa mencari peluang untuk meraih keuntungan segera.

Tidak salah untuk peniaga mendapatkan keuntungan dalam berniaga tetapi menjadi kesalahan apabila mereka mengambil peluang menaikkan harga sesuka hati tanpa mematuhi peruntukan undang-undang.

Sebarang kenaikan harga barang dan perkhidmatan untuk meraih keuntungan melampau serta tidak munasabah boleh ditakrifkan sebagai aktiviti pencatutan.

Bagi peniaga yang didapati melakukan aktiviti mencatut, tindakan undang-undang perlu diambil melalui Akta Kawalan Harga & Antipencatutan 2011 [Akta 723].

Sebarang aktiviti penawaran harga barangan atau perkhidmatan yang mencurigakan perlu dilaporkan dengan segera kepada pihak berkuasa sama ada melalui talian 03-80008000 1Malaysia One Call Centre (1MOCC); talian bebas tol Pusat Informasi dan Gerakan Operasi Strategik (PIGOS) 1-800-886-800; aplikasi telefon pintar Ez ADU; emel [email protected]; SMS ke 15888 dengan menaip “KPDNHEP ADUAN <butiran aduan>”; atau pun melapor terus atau hadir sendiri ke mana-mana pejabat KPDNHEP yang berhampiran.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW

USIM