KEMALANGAN di sekitar tapak pembinaan khususnya melibatkan kren semakin meningkat dan kini menjadi isu negara selepas meragut nyawa orang awam. Tahun lepas sahaja, tiga termasuk sepasang suami isteri terkorban dalam dua kejadian berasingan akibat dihempap jentera pembinaan itu.

Kejadian 4 November 2016 menyaksikan sepasang suami isteri maut selepas kren statik tumbang menghempap kereta dinaiki mereka di Persiaran Astana, Meru, Klang, Selangor. Seorang wanita pula menerima takdir sama selepas kereta dipandunya dihempap besi penyangkut kren yang terjatuh di Jalan Raja Chulan, Bukit Bintang pada 25 Ogos lalu. Dua tragedi itu memperlihatkan pihak terbabit tidak mengambil iktibar kejadian kren pembinaan sebuah hotel 20 tingkat yang terbalik 
dan menghempap sebuah 
rumah kedai dua tingkat 
di Jalan Sri Bahari, Georgetown, Pulau Pinang, menyebabkan seorang warga emas maut manakala tiga parah, sekitar Oktober 2011.

Sebahagian besar punca tragedi kerana pematuhan undang-undang keselamatan industri tidak dititikberatkan oleh pelbagai pihak yang terlibat dalam industri pembinaan. Selain itu sikap tamak pemaju mengutamakan keuntungan sehingga sanggup mengetepikan faktor keselamatan pekerja dan orang awam.

Sama ada sikap tersebut didorong desakan akibat krisis ekonomi melanda atau tuntutan pekerjaan yang perlu dipenuhi, risiko yang diambil itu terlalu tinggi untuk dikompromi. Apakah keselamatan dan nyawa pekerja atau orang awam yang berada di sekitar tapak pembinaan harus diperjudikan demi mengaut keuntungan yang disasarkan?

Di bawah Akta Kilang dan Jentera 1967, pemaju dikehendaki memastikan kren diselenggara dan dipasang oleh syarikat kompeten di bawah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP), selain melantik kontraktor utama untuk menyelenggara dan memeriksa kren berdasarkan spesifikasi pengilang kren dari semasa ke semasa mengikut dijadualkan.

JKKP mempunyai kuasa memberhentikan pembinaan serta-merta bagi membolehkan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 44 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 untuk merungkai tragedi berpunca daripada kecuaian pemaju.

Isu berkenaan diyakini dapat ditangani sekiranya penguatkuasaan undang-undang dilakukan secara berterusan dengan kerjasama padu daripada semua pihak berkaitan.

Dalam perkembangan sama, pihak kerajaan dan peneraju industri juga diminta memberi penekanan terhadap pelaksanaan polisi dalaman dan penguatkuasaan bagi mewujudkan budaya kerja yang memupuk nilai keselamatan dan kesihatan pekerja sebagaimana saranan Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO).

PROF. MADYA 
DR. ROZANAH AB. RAHMAN

Universiti Putra Malaysia