Ini termasuk melalui panggilan telefon atau Internet.

Ada mangsa yang rugi ratusan ribu ringgit dalam sekelip mata apabila menerima panggilan misteri atau pun cara panggilan pujuk rayu cinta daripada pemanggil yang tidak dikenali.

Pelbagai cara untuk menipu orang ramai dan sindiket ini mempunyai rangkaian dan peralatan canggih serta mempunyai pejabat pula di mana mereka beroperasi dan sering berpindah-randah apabila merasakan kegiatan haram mereka itu dihidu pihak berkuasa.

Agak rasa janggal apabila yang terkena tipu oleh sindiket ini selalunya terdiri daripada golongan profesional seperti doktor, ahli perniagaan, peguam, malahan pakar motivasi serta ustaz sendiri pun tidak terkecuali.

Kebanyakan mereka yang menjadi mangsa disebabkan berasa malu, jarang sekali membuat aduan kepada pihak berkuasa melainkan keadaan terpaksa.

Masalahnya kita bukan risaukan akan sindiket terbabit menular kerana sudah banyak kejadian tersebut didedahkan melalui media massa.

Apa yang dikhuatiri adalah mereka yang menjalankan kegiatan penipuan ini seolah-olah menggunakan ilmu hitam atau ilmu pukau.

Dikhuatiri mangsa yang menerima panggilan misteri seperti terkena pukau dan diarahkan mengeluarkan semua simpanan dalam bank.

Mangsa akan ikut sahaja arahan seperti mana disuruh dan hanya tersedar daripada terkena pukau sebaik sahaja duit sudah masuk ke dalam akaun sindiket.

Begitu juga mereka yang terkena tipu melalui Internet di mana mangsa akan ikut sahaja arahan yang diberikan iaitu mengeluarkan puluhan ribu ringgit setiap hari dan memasukkan ke dalam akaun sindiket hingga habis kesemuanya.

Selepas itu baharulah mangsa tersedar bahawa mereka telah tertipu.

Bukan mudah untuk mengesan sindiket-sindiket ini kerana mereka licik.

Akaun yang mereka gunakan sukar dikesan.

Kadangkala sindiket ini daripada luar negara yang selalu meminta dihantarkan sejumlah wang dalam dollar Amerika Syarikat melalui penghantaran kiriman wang luar negara.

Sudah beberapa kali dipesan kepada rakyat Malaysia supaya berhati-hati menerima panggilan dan jangan jawab jika nombor yang tertera tidak dikenali.

Jika benarlah ada sindiket menggunakan ilmu hitam seperti pukau sebagaimana yang dilaporkan, memang sukarlah untuk mengesan mereka yang terlibat dengan jenayah ini.

Bagi umat Islam amalan daripada petikan ayat-ayat suci al-Quran dan zikir-zikir tertentu boleh menghindari amalan ilmu hitam ini.

Oleh itu, ambillah langkah berjaga-jaga.

SYED ABDULLAH 
SYED OSMAN

Negeri Sembilan