Ada yang berpendapat pengangguran khususnya dalam kalangan belia menjadi begitu tinggi kerana mereka terpaksa bersaing dengan pekerja asing yang sanggup menerima gaji lebih rendah dengan suasana kerja tidak selesa. Majikan pula dituduh lebih gemar mengambil pekerja asing yang mudah dieksploitasi.

Rekod Jabatan Imigresen pada Julai 2018 menunjukkan terdapat sejumlah 1.76 juta pekerja asing yang sah dan 
rata-rata tertumpu di beberapa sektor utama seperti perkilangan, pembinaan dan perladangan.

Bagaimanapun, jumlah 1.76 juta orang tersebut amat rendah kerana dianggarkan bilangan pekerja asing tidak sah hampir dua kali ganda jumlah rasmi tersebut. Ini bermakna terdapat lebih 5.3 juta pekerja asing di Malaysia.

Pekerja asing tidak sah inilah yang kita lihat sama ada bekerja atau memiliki perniagaan pusat mencuci kenderaan, perkhidmatan memotong rumput, membaiki rumah, pasar malam dan menjual permaidani. Mereka sangat aktif dalam sektor ekonomi tidak rasmi seperti di atas apabila transaksi dilakukan tanpa rekod, sekali gus berada di luar radar Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Banyak pihak mendesak kerajaan mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing ini dengan memperketatkan syarat kemasukan serta memberi keutamaan kepada pekerja tempatan, terutama golongan belia. Namun ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk direalisasikan.

Halangan terbesarnya adalah sejauh mana kesanggupan pekerja tempatan terutama golongan belia untuk mengambil alih kerja-kerja yang dikategorikan sebagai 4D (bahaya, kotor, sukar dan hina).

Tidak mudah untuk menggantikan mereka dengan pekerja tempatan dalam waktu yang singkat kerana pelbagai proses perlu dilakukan termasuk latihan, perubahan undang-undang yang membabitkan pelbagai agensi serta kos kewangan. Sebarang perubahan dasar secara terburu-buru dalam mengurangkan pekerja asing ini akan memberikan kesan negatif terhadap ekonomi negara dan menggugat keyakinan masyarakat perniagaan.

M. SIDKI HASAN

Ahli Persatuan Akauntan Malaysia (MIA)