Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Tangani segera gengsterisme remaja

Saudara Pengarang, SAYA merujuk kepada laporan Utusan Malaysia baru-baru ini mengenai 18 remaja ditahan polis kerana disyaki terlibat dengan kegiatan kumpulan kongsi gelap Geng 35.

PAPARAN Utusan Online 4 Mei 2017.

Semua remaja berusia antara 15 hingga 17 tahun disiasat mengikut Seksyen 52 Akta Pertubuhan 1966. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda tidak lebih RM15,000.

Penahanan mereka dibuat selepas gambar sekumpulan pelajar berpakaian seragam sekolah meraikan penubuhan kumpulan Geng 35 dengan memotong kek tersebar menerusi aplikasi WhatsApp, baru-baru ini.

Isu kongsi gelap dan gengsterisme ini perlu diatasi dengan segera. Segala usaha ke arah itu harus ditumpukan kepada penyelesaian sehingga ke punca utamanya.

Jika tidak diselesaikan dengan kadar segera, gejala itu bukan sahaja akan mengganggu ketenteraman awam dan keselamatan orang ramai malahan akan merosakkan masa depan generasi muda.

Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menyambut baik kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim pada 2 Mei lalu bahawa polis telah mengenal pasti ketua kumpulan gengster di seluruh negara dan akan menangkap mereka menerusi operasi khas tidak lama lagi.

Menurut Noor Rashid, polis berharap melalui tangkapan itu, kegiatan gengsterisme di negara ini dapat dihapuskan secara drastik.

Langkah itu adalah sebagai tambahan kepada tindakan polis menangkap seramai 40 anggota Geng 24 dan Geng 36 di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 2012 (SOSMA).

Noor Rashid turut memaklumkan polis akan meningkatkan lagi hubungan dengan sekolah sebagai usaha untuk memerangi ke­giatan gengsterisme dalam kalangan pelajar.

Namun, bagi saya, apa yang menjadi kebimbangan utama orang ramai adalah usaha kumpulan kongsi gelap dan gengster ini untuk menyelinap masuk ke sekolah dan merekrut pelajar bagi menyertai mereka.

Pihak pengurusan sekolah perlu memberi perhatian penuh terhadap isu ini manakala pengetua dan guru besar pula tidak seharusnya menyembunyikan aktiviti sebegini demi menjaga nama atau reputasi sekolah mereka.

Semua pihak yang berkepentingan perlu menjalankan tanggungjawab mereka untuk mengatasi masalah ini agar gejala itu tidak terus menular dan mengganggu sistem persekolahan negara.

Pihak sekolah perlu bekerjasama dengan pegawai perhubungan polis yang ditugaskan untuk meningkatkan kesedaran pelajar mengenai bahaya gengsterisme dan kenapa mereka tidak seharusnya menyertai kumpulan kongsi gelap dan gengster ini.

Para guru dan pengawas sekolah pula perlu bertindak sebagai mata dan telinga kepada pihak berkuasa bagi mengekang aktiviti kongsi gelap dan gengsterisme di sekolah bagi memastikannya tidak mempengaruhi pelajar.

Pihak sekolah juga boleh mendapatkan pertolongan polis untuk mengenal pasti pelajar terbabit dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka.

Pada masa sama, program pemutihan ke atas pelajar yang terlibat dengan kegiatan itu mesti dilakukan agar masalah ini dapat ditangani.

TAN SRI LEE LAM THYE

Naib Pengerusi Kanan MCPF

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain