Tindakan segera diperlukan agar penduduk, nelayan dan orang awam yakin kerajaan negeri akan menangani masalah yang telah lama berlaku ini.

SA M telah beberapa kali kemukakan aduan kepada pihak berwajib seperti kerajaan negeri, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) tetapi perkara ini masih berlarutan seperti tiada siapa mengambil peduli.

Mesyuarat dan lawatan lapangan juga telah diadakan malah jaminan beberapa agensi terlibat mahu menangani isu ini umpama kata-kata kosong tetapi tiada tindakan berkesan diambil. Perkara ini amat mengecewakan dan membimbangkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Pulau Pinang, Dr. Afif Bahardin baru-baru ini dilapor menyatakan sisa kumbahan itu bukan sahaja memberi kesan kepada penduduk sepanjang pesisir pantai tetapi juga menggugat tangkapan nelayan.

Beliau kecewa dengan perbuatan tidak bertanggungjawab sesetengah penternak khinzir yang gagal menyelia ladang mereka dengan baik dan kerajaan negeri tidak akan berkompromi lagi selepas ini. Artikel sama turut mendedahkan selama berpuluh tahun ladang khinzir di Gertak Sanggul dan banyak tempat di Seberang Perai memberi kesan buruk ke atas alam sekitar.

Seharusnya pihak yang bertanggungjawab mengakui kebenaran fakta bahawa kebanyakan sisa buangan dan kumbahan ladang khinzir yang dilepaskan ke parit, sungai atau laut tidak dirawat 100 peratus.

Apabila sistem rawatan kumbahan tidak digunakan, masalah seumpama ini akan timbul dan menyebabkan rasa kurang senang penduduk dan nelayan akibat bau busuk selain menyebabkan pencemaran.

SAM menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan mengenakan hukuman lebih berat ke atas pengusaha ternakan khinzir yang mencemarkan kawasan Gertak Sanggul. SAM percaya jika masalah ini dibiarkan berlarutan, bukan sahaja boleh mengancam alam sekitar malah kesihatan penduduk dan sumber pendapatan nelayan juga akan terjejas.

Justeru, SAM berharap apa yang telah diperkatakan oleh Dr. Afif itu menjadi bukti kepada penduduk tempatan bahawa beliau benar-benar serius dan tidak akan berkompromi dalam mengambil tindakan tegas terhadap penternak khinzir yang tidak mematuhi prosedur ditetapkan.

S. M. MOHAMED IDRIS

Presiden SAM