Ini yang menyebabkan masalah anjing liar di Bandar Seri Putra semakin hari semakin serius dan seperti tiada kesudahan.

Tidak tahulah saya mengapa MPKj sehingga sekarang masih gagal bertindak.

Apa yang lebih merisaukan kami kebanyakan anjing liar itu garang serta agresif, dan kemungkinan akan ada orang yang menjadi mangsa adalah cukup besar.

Saya pernah dimaklumkan dua penuntut Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) dikejar anjing berhampiran simpang trafik menuju ke Bank Simpanan Nasional (BSN) Bandar Seri Putra hingga menyebabkan kedua-duanya terjatuh. Kejadian ini berlaku kelmarin.

Orang awam sempat menghulurkan bantuan kepada mereka. Begitulah sifat anjing liar di Bandar Seri Putra ini. Itu satu kes yang pernah dimaklumkan kepada saya.

Mungkin juga anjing-anjing liar ini lapar dan terdesak memandangkan majoriti penduduk yang tinggal di Bandar Seri Putra adalah orang Melayu.

Selain itu, pernah juga saya mendengar beberapa pelajar lain turut dikejar oleh anjing-anjing liar tersebut.

Saya dan penduduk di sini amat mengharap MPKj mengambil tindakan segera sebelum ada yang cedera parah akibat digigit anjing liar. Kalau bukan MPKj kepada pihak mana lagi kami hendak mengadu.

Walaupun akan ada pihak yang menyatakan isu anjing liar adalah itu isu kecil tetapi bagi kami ini tetap satu isu besar. Sebenarnya apa yang kita bincangkan di sini amat berkait rapat dengan keselamatan dan kepentingan penduduk. Kami amat bimbangkan keselamatan pelajar-pelajar di sini dan anak-anak kecil kami.

Saya juga hairan dari mana datangnya anjing-anjing liar ini. Tolonglah kami tangani masalah ini secepat mungkin.

Jangan ada yang menjadi mangsa baru hendak bertindak seperti kata peribahasa ‘sudah terhantuk baru terngadah’.

ABANG PRIHATIN

Bandar Seri Putra, Selangor