Banyak juga saranan dan syor yang diberikan termasuk langkah penambahbaikan terhadap peruntukan peraturan dan undang-undang sedia ada bagi membendung kegiatan tersebut. Kawalan terhadap rokok seludup ini banyak berfokus kepada masalah kesihatan.

Ini memandangkan kandungan bahan kimia dalam rokok seludup melebihi had yang ditetapkan menurut undang-undang Malaysia. Kandungan tar dan nikotin di dalam rokok seludup juga adalah lebih tinggi. Selain itu, kandungan dalam rokok seludup mungkin telah dicemari bahan kimia atau produk bukan tembakau lain.

Penemuan itu hasil kajian oleh penyelidik Universiti Malaya (UM). Oleh itu, tibalah masanya kerajaan menggunakan Akta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara 2009 (Akta 692) sepenuhnya iaitu berkaitan peruntukan penguatkuasaan pelaksanaan pelesenan bagi tembakau dan keluaran tembakau bertujuan menangani pengedaran rokok tidak sah dalam pasaran.

Selain itu, pihak penguat kuasa perlu lebih agresif mengesan mereka yang menjual rokok seludup.

Di sempadan dan perairan pula pihak penguat kuasa yang terdiri daripada kastam, polis, Maritim Malaysia termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sewajarnya lebih proaktif membanteras aktiviti penyeludupan rokok.

Mereka boleh bergabung membentuk satu pasukan yang mantap bagi memerangi kegiatan itu melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS). Jangan berlengah lagi kerana kesannya yang begitu buruk dari sudut kesihatan terhadap rakyat negara kita.

D.ISMADI ISHAK

Kota Bahru