Langkah ini menyebabkan kurangnya PATI muncul dalam khalayak ramai kini terutama sekali pada hari cuti hujung minggu.

Persoalannya, berapa lama mereka boleh bersembunyi? Lambat-laun mereka pasti akan keluar daripada tempat bersembunyi dan menyerah diri secara sukarela atau balik ke negara asal melalui jalan tikus.

Di harap Jabatan Imigresen dan jabatan-jabatan yang berkaitan saperti Jabatan Kastam, pihak berkuasa tempatan (PBT), polis, tentera dan Rela dapat membantu membenteraskan semua PATI agar negara kita tidak lagi menjadi sarang untuk mereka bertapak dan melakukan jenayah serta bekerja secara haram.

Pantau juga pelajar-pelajar asing yang datang ke negara ini tetapi bukan atas niat untuk belajar sebaliknya semata-mata mahu mencari pekerjaan haram atau melakukan jenayah termasuk sindiket pelacuran.

Pada masa sama, pastikan tiada majikan termasuk kilang-kilang mengambil pekerja dari golongan PATI.

Kerajaan juga perlu kenakan hukuman berat terhadap majikan yang mengambil PATI seperti hukuman sebat yang boleh menginsafkan mereka.

Jabatan Imigresen perlu diperkasakan lagi dengan peralatan canggih serta menambah kakitangannya untuk memastikan negara kita tidak semudah dahulu dapat dibolosi oleh PATI.

Sudah sampai masanya setiap inci bumi Malaysia dikawal rapi terutama di sekitar sempadan Malaysia-Thailand.

Segerakan membina tembok sempadan agar tiada lagi laluan seperti di Sungai Golok yang mudah dicerobohi, bukan sahaja oleh PATI tetapi menyeludup barang termasuk dadah dan senjata api.

SYED ABDULLAH OSMAN

Negeri Sembilan