SUNGGUH tragis apabila membaca berita kematian lapan orang remaja yang menunggang basikal akibat dirempuh oleh sebuah di kawasan Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah, Johor Bahru kira-kira pukul 3 pagi, 18 Februari lalu.

Masakan tidak dalam tempoh sekelip mata sahaja lapan nyawa melayang. Apa pun inilah takdir yang telah ditentukan oleh Allah SWT yang wajib kita terima dengan reda. Mungkin ada hikmah dan pengajaran di sebalik kejadian itu.

Saya juga pasti ahli keluarga terutama ibu bapa setiap mangsa merasa kehilangan anak kesayangan mereka. Kepada mereka saya ucapkan takziah dan moga-moga Allah menempatkan semua mangsa ini dalam kalangan golongan mukmin dan solihin.

Yang pergi kita reda dengan pemergian mereka tetapi yang tinggal ini perlu memikirkan apakah tindakan seterusnya selepas berlakunya kejadian itu. Setelah saya meneliti daripada pelbagai sudut dan aspek, terdapat beberapa isu yang boleh diketengahkan untuk kita dilihat secara bersama.

Saya sebenarnya amat bersetuju dengan pandangan sesetengah agar kita tidak menuding jari kepada mana-mana pihak sebaliknya perlu dicari jalan penyelesaian agar kejadian seperti ini tidak lagi berulang pada masa akan datang.

Mungkin ramai yang akan menyalahkan ibu bapa kerana kegagalan mereka mengawal anak masing-masing. Dalam hal ini kita tidak boleh meletakkan seratus peratus kesalahan ke atas mereka. Ibu bapa mana yang membenarkan anak-anak mereka merayau sampai lewat malam.

Saya yakin ibu bapa mangsa telah sedaya upaya menghalang anak-anak mereka merayau hingga dinihari dengan berbasikal. Namun kemampuan ibu bapa tetap terbatas. Mungkin anak-anak mereka keluar selepas semuanya tidur.

Secara realitinya, jiran sekeliling serta penduduk kampung juga mempunyai peranan masing-masing. Oleh itu, disyorkan mana-mana penempatan yang dikenal pasti mempunyai kumpulan remaja sebegini, mereka perlu menubuhkan pasukan khas (seperti Skim Rukun Tetangga) bagi membolehkan pemantauan dibuat.

Penghulu, ketua kampung, pengerusi persatuan penduduk dan ketua blok boleh menggerakkan usaha ini dengan melibatkan seberapa ramai anak-anak buah mereka. Tujuannya adalah untuk mendisiplinkan para remaja terbabit. Percayalah, melalui gerak kerja yang lebih sepakat dan teratur isu ini mampu ditangani dengan baik.

Kita bukan mahu menjaga tepi kain orang tetapi semata-mata mahu memastikan para remaja ini tidak terlibat dengan gejala-gejala tidak sihat serta perbuatan jenayah. Paling penting kita mahu tragedi lapan maut ini tidak lagi berulang pada masa akan datang. Sekiranya terjumpa arahkan mereka segera pulang ke rumah.

Dalam pada itu, ketika berbincang dengan seorang sahabat tentang tragedi ini, dia ada mencadangkan agar pihak kerajaan negeri membina satu trek khas untuk mereka yang gemar berbasikal.

Saya pada awalnya kurang bersetuju tetapi selepas difikir-fikirkan ada juga benarnya.

Mungkin juga para remaja ini tidak mempunyai tempat khas untuk mereka berbasikal hingga menyebabkan mereka menggunakan jalan raya utama sebagai lokasi aktiviti. Diharap kerajaan Johor boleh mempertimbangkannya. Jika ada trek khas mereka boleh menjalankan aktiviti dengan selamat.

Malah saya yakin jika para remaja ini diberikan peluang melalui saluran yang betul tidak mustahil ada di antara mereka mampu muncul sebagai pelumba basikal terkenal seperti Azizulhasni Awang dan Anuar Manan.

PAK TEH

Gombak