Berdasarkan statistik dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), dari 2013 hingga 2017, terdapat 257 lelaki dilaporkan telah menjadi mangsa daripada keseluruhan 1,218 kes gangguan seksual yang dilaporkan.

Persepsi bahawa gangguan seksual tidak mungkin boleh terjadi kepada lelaki berlaku kerana masyarakat masih beranggapan bahawa golongan itu adalah kuat dari segi fizikal, emosi dan mental dalam menghadapi segala masalah berbanding wanita. Akibatnya ramai lelaki berasa malu untuk membuat laporan.

Banyak kajian telah dilakukan di serata dunia menunjukkan bahawa gangguan seksual di tempat kerja melibatkan lelaki kian meningkat dari tahun ke tahun.

Masalah gangguan seksual itu perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak tanpa memandang kepada jantina mangsa yang terlibat.

Kebanyakan mangsa gangguan seksual di tempat kerja akan merasa lemah dari segi emosi serta kurang keyakinan diri terutamanya jika gangguan seksual terbabit datang daripada mereka yang mempunyai kuasa di tempat kerja seperti pihak majikan, pengurusan ataupun pensyarah. Perlu diketahui, pada masa kini tiada akta khusus untuk mengatasi masalah gangguan seksual dalam negara kita.

Gangguan seksual jenis ini selalunya melibatkan pengaruh kuasa di mana pihak majikan atau pegawai atasan mempunyai kuasa untuk mengambil dan memberhentikan pekerja.

Jika pekerja itu tunduk kepada kehendak seksual majikannya, dia akan dinaikkan pangkat atau menerima gaji lebih lumayan.

Oleh yang demikian, semua pihak hendaklah mengetahui segala hak mereka berkaitan masalah gangguan seksual serta mengambil langkah berani bagi mengatasinya.

PENSYARAH PRIHATIN
Nilai