Walaupun berlaku penurunan jumlah kematian pada bulan berkenaan namun realitinya masalah denggi di negara ini masih gagal dibendung sehinggalah sekarang. Apapun secara peribadi saya tetap mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kesihatan negeri atas usaha keras mereka selama ini untuk membasmi demam denggi.

Selain membuat semburan bagi menghapuskan pembiakan nyamuk aedes, Jabatan Kesihatan negeri juga ada membekalkan ubat menghapuskan jentik-jentik kepada penduduk. Mereka juga membuat pemeriksaan rambang di premis perniagaan dan kediaman. Jika premis atau rumah itu menjadi lokasi pembiakan jentik-jentik aedes kompaun akan dikeluarkan.

Dalam pada itu pihak Jabatan Kesihatan negeri turut mengambil pendekatan menggantung banting di mana-mana tempat atau lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan wabak. Langkah ini bagi saya amat baik terutama dalam usaha menyedarkan penduduk tentang masalah denggi di tempat mereka antaranya seperti di Seremban 2.

Pada hemat saya, antara objektif Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan berbuat demikian adalah untuk mendapatkan kerjasama daripada penduduk agar bersama-sama menangani masalah denggi di kawasan berkenaan.

Oleh itu diharap dengan peringatan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan negeri tersebut, penduduk terlibat sentiasa peka dengan soal kebersihan khususnya memastikan persekitaran kediaman mereka sentiasa bersih dan bebas daripada sebarang takungan air.

Tolonglah peruntukan 10 minit sehari untuk memeriksa jika ada air bertakung di rumah. Jika ada tin kosong atau longkang tersumbat carilah jalan untuk menanganinya. Peranan dan komitmen daripada semua lapisan masyarakat amat diharapkan untuk membantu menjayakan kempen bagi membasmi masalah denggi di negara kita.

ANAS

Seremban 2