Ini kerana Tabung Haji bukan sahaja institusi yang menguruskan rakyat Malaysia untuk mengerjakan ibadah haji malah menjadi salah satu daripada dana pelaburan nasional yang utama.

Gabungan pelaburan berlandaskan Syariah, pembayaran zakat automatik dan pakej ibadah haji bersubsidi telah menjadikan Tabung Haji sebagai pilihan pelaburan yang popular bagi umat Islam.

Organisasi itu juga telah memainkan peranan penting bagi memperkecilkan jurang ekonomi relatif antara etnik.

Pihak kami bersetuju dengan peletakan cabang pelaburan Tabung Haji di bawah pengawasan Bank Negara Malaysia (BNM). Ini langkah positif kerana BNM diiktiraf di peringkat dunia sebagai salah satu institusi awam paling baik ditadbir di Malaysia.

Integriti dan rekod prestasi BNM dalam menguruskan sistem kewangan Malaysia akan memastikan apa-apa kesilapan yang dibuat Tabung Haji pada masa lalu tidak akan berulang.

Bagaimanapun, pihak kami khuatir pemindahan aset bernilai RM20 bilion keluar dari Tabung Haji akan menjadi permulaan kepada pemindahan aset yang jauh lebih besar dan ini akan mengurangkan kepentingan organisasi itu.

Menghadapi tekanan kewangan yang semakin meningkat, kerajaan mungkin memutuskan menjual lebih banyak aset Tabung Haji, jalan lebih mudah daripada penstrukturan semula secara menyeluruh.

Oleh itu, MTEM memohon supaya jaminan kerajaan untuk semua deposit dibuat tanpa had batas atas bagi mengurangkan kemungkinan pengeluaran dana oleh individu yang mempunyai simpanan banyak.

Lengkapkan audit penuh akaun Tabung Haji dan penilaian semua asetnya sebelum menjual aset bernilai RM20 bilion dan elakkan ‘kejuruteraan kewangan’ yang rumit untuk menyelesaikan masalah organisasi itu yang hanya akan menyebabkan langkah menstruktur Tabung Haji menjadi kurang telus.

Kerajaan Pakatan Harapan mesti mengendalikan penstrukturan aset Tabung Haji dengan berhati-hati. Kegagalan akan menimbulkan kemarahan umat Islam Malaysia terhadap kerajaan semasa walaupun masalah Tabung Haji pastinya disebabkan pemerintah sebelumnya.

AHMAD YAZID OTHMAN
Ketua Pegawai Eksekutif MTEM