Ketika menghantar ibu menaiki perkhidmatan kereta api berelektrik (ETS) baru-baru ini, saya terkejut begitu ramai orang termasuk pelancong asing terpaksa beratur untuk masuk ke tandas.

Bukan sahaja kubikel tandas sedikit malah keadaannya sangat daif seolah-olah hanya dicuci tanpa sebarang kerja penyelenggaraan.

Sabun tangan disediakan dalam botol air mineral, kunci pintu kubikel rosak dan longgar malah keseluruhan tandas suram umpama sudah lama tidak diperiksa pihak berwajib.

Keadaan ini umpama langit dan bumi berbanding tandas awam di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di lebuh raya utama negara.

Saya harap kemudahan di pusat tumpuan pelancong seperti Kl Sentral, Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), stesen-stesen Transit Aliran Massa (MRT) dan lain-lain sentiasa diselenggara dengan berkala dan teratur.

Sekalipun tidak kisah tahap keselesaan rakyat Malaysia menggunakan kemudahan sedia ada, fikirkanlah imej negara di mata pelancong asing.

SITI SAFIAH

Subang, Selangor