Penyokong akan kembali memenuhi Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi terutama apabila diadakan pertandingan melibatkan lawan handal seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah dan Perak.

Bas dan kereta yang membawa penyokong kedua-dua pasukan sudah pasti akan memenuhi pekarangan stadium. Cuma yang menjadi masalah adalah tidak banyak tempat meletak kenderaan disediakan di situ.

Ini menyebabkan para penyokong terpaksa meletakkan kenderaan di bahu-bahu Jalan Seremban-Kuala Pilah, Paroi-Senawang dan di hadapan rumah penduduk di Taman Paroi Jaya.

Untuk menyelesaikan masalah itu, saya mencadangkan Majlis Perbandaran Seremban membina tempat meletak kenderaan di atas tanah kosong yang banyak terdapat di sekitar stadium berkenaan.

Antaranya, tanah kosong berhampiran Majlis Sukan Negeri (MSN) Negeri Sembilan dan berdekatan tapak lama Kem Tentera Paroi.

Saya kesal kerana tanah-tanah tersebut dibiarkan dipenuhi semak samun yang menyakitkan mata memandang.

Tidakkah pihak berwajib ambil peduli dengan keadaan belukar yang terus ‘menghiasi’ kawasan sekitar stadium?

ANAK JATI NOGORI

Paroi