Saya sokong langkah ini. Sasaran itu tentulah sesuatu yang menyeronokkan wanita. Tetapi lelaki juga seronok. Mana tidak seronok kalau isteri mereka menjawat jawatan tinggi dalam sektor awam atau swasta.

Tetapi wanita apabila menjadi ketua perlu bekerja dengan bagus. Bukan senang menjadi orang atasan. Ketua semuanya perlu bekerja keras. Kalau tidak percaya, cuba tanya lelaki yang ramai menjadi ketua. Mereka tentu setuju.

Saya tidak bimbang kalau wanita duduk di atas. Mereka lazimnya lemah lembut dan tidak berkeras dalam hal kerja. Dulu, ketika hampir semua orang atasan itu lelaki, ramai yang merungut kerana ketua mereka suka berkeras. Mereka mahu setiap kerja dilakukan dengan cepat. Itu perangai sesetengah lelaki.

Saya tidak kata ketua lelaki tidak bagus. Banyak yang cemerlang. Mereka sentiasa bekerja keras dan kadang-kadang sampai ke malam.

Tetapi wanita pun bagus kalau menjadi ketua. Kalau orang besar itu wanita, mereka kebiasaannya melakukan sesuatu dengan cermat dan tidak mengambil masa terlalu panjang.

Oleh itu, saya menyokong cadangan beberapa pihak supaya bilangan wanita sebagai ketua ditambah sehingga 50 peratus. Yang lagi setengah masih lelaki. Mereka tidak perlu runsing kerana masih boleh terus berpegang kepada jawatan besar masing-masing.

T.S. LANANG

Kuala Lumpur