KEMUDAHAN penginapan yang selamat dan selesa untuk anggota polis dapat mengurangkan beban hidup dan meningkatkan kualiti kerja PDRM. GAMBAR HIASAN/UTUSAN

Daripada 130,000 anggota PDRM, hanya 80,000 kakitangan mendapat kemudahan kediaman berek menyebabkan 50,000 anggota PDRM terpaksa menyewa atau mencari kediaman sendiri.

Berek pula berdepan masalah seperti bangunan uzur akibat kurang penyelenggaraan. Sehubungan itu, peruntukan yang disediakan kerajaan untuk menaik taraf dan membaik pulih semua kediaman dan berek polis amat dialu-alukan.

Saya amat konsisten dalam membangkitkan isu ini kerana percaya bahawa peruntukan yang mencukupi dan budaya penyelenggaraan yang baik akan dapat memastikan kemudahan itu sentiasa berada pada tahap memuaskan.

Setiap kali bajet tahunan dibentangkan, saya sering mengutarakan perkara ini kerana peruntukan yang dikeluarkan untuk membina kediaman baharu perlu mengambil kira aspek penyelenggaraan dan menambah baik.

Berdasarkan maklum balas yang diterima dan pengamatan saya sendiri, masih terdapat berek polis yang tidak diselenggara dengan baik sehingga memaksa sesetengah anggota PDRM mengeluarkan wang dari poket mereka sendiri bagi membaiki kerosakan seperti kebocoran paip atau bumbung.

Rancangan untuk mengubah suai berek daripada dua bilik kepada tiga bilik, membaik pulih surau-surau dan mewujudkan taman-taman rekreasi di kawasan kediaman polis juga amat diperlukan.

Pada masa sama, soal keselamatan dan kesejahteraan di kawasan kediaman pegawai dan anggota polis juga harus dipertingkatkan selaras dengan kedudukan mereka sebagai penguat kuasa undang-undang.

Bagi mereka yang menyewa di luar pula, kerajaan perlu memikirkan kos yang harus mereka tanggung kerana harga rumah semakin meningkat saban tahun.

Adalah wajar setiap pegawai dan anggota PDRM disediakan berek yang selesa di kawasan bandar agar mereka tidak terbeban dengan sewa yang tinggi setiap bulan.

Saya amat yakin bahawa pegawai dan anggota polis seluruh negara pastinya dapat bekerja dengan tenang dan penuh semangat jika mereka tahu bahawa keluarga berada dalam keadaan selamat dan sejahtera.

TAN SRI LEE LAM THYE

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)