Kesabaran dan minat yang mendalam adalah kunci kejayaan untuk menjadi seorang pegawai perubatan kerana cabarannya sejak tahun pertama pengajian lagi hingga tahun terakhir perlu ditempuh dengan tabah dan tanpa rungutan. Itulah pengorbanan untuk menjadi seorang doktor perubatan yang bertauliah.

Bila masuk ke alam pekerjaan sebagai pegawai perubatan pula, walaupun di peringkat permulaannya bekerja mengikut waktu pejabat iaitu dari pukul 8 pagi hingga 5 petang di hospital kerajaan atau klinik kerajaan, lazimnya doktor yang merawat pesakit akan balik pada pukul 7 malam kerana perlu melayani pesakit tanpa mengira masa. Itulah rutin sebagai doktor di hospital-hospital kerajaan tanpa mendapat imbuhan atau tuntutan tambah masa di dalam pekerjaan mereka.

Selain itu, para doktor perlu bertugas secara on-call beberapa kali setiap bulan. Tugasan doktor yang sentiasa sibuk ini kadangkalanya mereka terlupa untuk sarapan pagi atau makan tengah hari sekiranya pada waktu itu mereka sedang merawat pesakit yang ramai.

Diakui, kerjaya doktor adalah satu pekerjaan mulia dan dipandang tinggi oleh masyarakat. Namun begitu, mereka juga manusia biasa. Kebajikan mereka perlu dijaga.

Oleh itu, dicadangkan agar mereka disediakan bilik-bilik khas untuk berehat bagi menghilangkan stres kerana penat bekerja terutama ketika bertugas on call. Mereka juga perlu berehat secukupnya dan tidak terlalu dibebani dengan tugasan sehingga terpaksa bersengkang mata siang dan malam.

Rehat yang mencukupi adalah perlu bagi mengelak mereka rasa mengantuk untuk memandu kenderaan semasa balik ke rumah. Pernah berlaku sebelum ini apabila seorang doktor ditimpa kemalangan dan meninggal dunia disebabkan terlalu letih semasa memandu pulang ke rumah.

Selain menjaga kebajikan, adalah disyorkan juga agar gaji mereka dinaikkan serta menambah elaun berkaitan setimpal dengan pekerjaan mereka itu.

Bebanan tugas pegawai perubatan di hospital kerajaan amat berbeza dengan mereka yang bertugas di hospital swasta. Tugasan di hospital kerajaan lebih mencabar kerana kehadiran pesakit yang ramai tetapi mereka bersedia untuk memberikan rawatan tanpa rungutan demi menyelamatkan nyawa pesakit. Terima kasih doktor.

SYED ABDULLAH 
SYED OSMAN
Ampangan, Selangor