Pihak hospital perlu menambahkan jumlah katil bagi menampung bilangan pesakit yang meningkat setiap hari.

Kementerian Kesihatan perlu terus proaktif bertindak menangani masalah ini kerana kesesakan dalam wad boleh menyebabkan ketidakselesaan dan mengganggu kesihatan pesakit itu sendiri.

Sebagai sebuah negeri yang kaya dengan hasil bumi, sudah semestinya segala pembangunan perlu seimbang dengan perolehan royalti minyak yang diterima setiap tahun dengan disalurkan untuk kebajikan rakyat jika kerajaan Pusat belum bersedia membantu.

Hal sama juga saya lihat di Hospital Kuala Lumpur (HKL), didapati banyak bangunan lama yang dibina sebelum negara merdeka lagi masih digunakan untuk menempatkan pesakit dan rasanya tidak begitu sesuai lagi dihuni kerana berisiko membahayakan keselamatan pesakit berikutan keadaan yang agak daif dan ketinggalan zaman.

Saya ingin mengucapkan syabas kepada Kementerian Kesihatan kerana kebanyakan hospital-hospital di negara ini mula menggunakan sistem berkomputer, bermula dari meja pendaftaran sehingga ke bilik rawatan pemeriksaan jenis penyakit, bertemu dengan doktor serta mengambil ubatan di farmasi.

Sistem di hospital-hospital kerajaan juga telah dinaikkan taraf bukan sahaja memudahkan urusan pentadbiran malah menjimatkan masa kerana sebelum sistem berkomputer ini dilaksanakan, pesakit perlu melalui proses yang agak lama untuk menyelesaikan setiap urusan mereka.

SYED ABDULLAH SYED OSMAN

Ampangan, Seremban, 
Negeri Sembilan.