Walaupun hilang ‘ibu segala pingat’ setelah pasukan bola sepak Malaysia kecundang kepada Thailand, namun kejayaan kontinjen negara mengutip pingat emas melebihi sasaran 111 emas sungguh membanggakan rakyat.

Impian rakyat untuk melihat Malaysia menjadi juara di Asia Tenggara dalam bidang sukan hakikatnya direalisasikan kepemimpinan kerajaan sedia ada amnya, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Semuanya hasil keprihatinan pemimpin negara yang tidak jemu-jemu memberi semangat dan galakan serta kemudahan disediakan kepada golongan belia untuk memberi tumpuan dalam bidang sukan.

Kejayaan besar atlet negara menjadi jaguh Sukan SEA ke-29 baru-baru ini adalah terjemahan hasil yang ‘dituai’ daripada kejayaan pelaksanaan sekolah sains sukan canggih terutama Sekolah Sukan Bukit Jalil, Sekolah Sukan Malaysia Terengganu, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail di Johor dan beberapa lagi sekolah sukan di negara ini.

Kini tumpuan kita untuk menggenggam pingat emas dalam Sukan Olimpik, selain mendapat tempat sebagai salah satu negara yang akan beraksi dalam Piala Bola Sepak Dunia pula.

Persediaan harus bermula sekarang termasuk mengambil jurulatih profesional dari luar negara, di samping memberi peluang lebih ramai atlet menjalani latihan di luar negara.

Selain sekolah sains sukan sedia ada, sebaik-baiknya diwajibkan setiap sekolah, baik sekolah rendah atau pun menengah berkecimpung sekurang-kurangnya tiga jenis sukan.

Saya juga mahu sarankan agar ditambah satu lagi aliran sains sukan di setiap sekolah menengah memandangkan aliran sains, teknikal dan sastera sudah pun ada di peringkat menengah.

Bagi menarik lebih ramai pelajar memasuki aliran sains sukan di peringkat menengah, mungkin boleh dipertimbangkan pemberian biasiswa kecil bulanan sebagai insentif kepada pelajar yang benar-benar komited dalam aliran itu.

Untuk mendapatkan biasiswa penuh bagi kemasukan ke pusat pengajian tinggi, pelajar harus menepati syarat wajib iaitu cemerlang dalam mana-mana sukan diceburinya.

Diharapkan Bajet 2018 nanti akan dipertimbangkan penambahan peruntukan untuk pembangunan sukan peringkat menengah merangkumi daerah, negeri dan kebangsaan di seluruh negara. Hakikatnya sukan mampu memberikan pendapatan lumayan buat atlet yang menjuarai bidang sukan yang diceburinya di peringkat antarabangsa.

SYED ABDULLAH SYED

OSMAN JAMALULLAIL

Ampangan, Seremban