Tidak ramai pelawat terutama orang tempatan pada hari itu. Untuk pelancong asing dewasa, tiket yang dikenakan adalah sebanyak RM67 seorang manakala kanak-kanak dikenakan RM27 seorang. Jumlah keseluruhan yang perlu dibayar untuk lima orang adalah sebanyak RM233.

Ada beberapa isu yang saya kira perlu dikaji semula berhubung operasi taman burung ini. Pertama tiket yang dikenakan agak mahal khususnya untuk warga negara Malaysia dan ini membantutkan usaha untuk menarik minat mereka berkunjung ke Taman Burung.

Keduanya, burung yang dipamerkan sebahagian besarnya tidak menarik dan kurang segar walaupun dilepaskan di kawasan lapang untuk didekati pengunjung. Ketiga, kebersihan sangkar serta keadaan rumput dan tanaman tidak diuruskan dengan baik manakala jalan laluan dipenuhi najis burung tanpa dibersihkan.

Paling menyedihkan, terdapat spesies burung eksotik seperti burung merak gagal diuruskan dengan baik sehingga menjejaskan penampilannya (bulu pelepahnya yang banyak patah).

Saya amat berharap pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan bersama-sama menggembleng tenaga untuk membuat penambahbaikan terhadap taman burung ini agar taman ini terus menjadi destinasi pelancongan menarik di ibu kota.

BADRUDDIN OTHMAN
Kuala Lumpur