Perkhidmatan itu yang melalui 44 stesen antara Gemas, Negeri Sembilan dan Padang Besar, Perlis telah mendapat sambutan cukup hebat bukan sahaja dalam kalangan rakyat tempatan malah pelancong asing.

Untuk meningkatkan lagi kemudahan kepada penumpang ETS, saya mencadangkan menu yang disediakan di kafe dalam tren dipelbagaikan termasuk ditambah kuih-muih tempatan, roti canai dan keropok lekor.

Minuman yang dihidangkan mesti mempunyai citarasa Malaysia seperti cendol, air batu campur dan air kelapa. Bagi kemudahan penumpang yang suka membaca, eloklah dijual majalah dan surat khabar.

Disyorkan disediakan per­khidmatan menempah makanan dijual di kafe ETS secara dalam talian, semasa membeli tiket dan dari tempat duduk penumpang seperti yang diperkenalkan sesetengah syarikat penerbangan.

Saya yakin kaedah itu akan mendapat sambutan terutama dalam kalangan penumpang yang menaiki ETS untuk perjalanan jarak jauh melebihi tempoh empat jam.

Dalam pada itu, saluran paip di surau untuk mengambil air sembahyang perlu ditinggikan kerana kedudukan rendah sekarang menyukarkan orang kurang upaya (OKU) dan warga emas untuk tunduk membasuh muka serta tangan mereka.

Diharap pihak KTMB menyelenggara secara lebih kerap lif di setiap stesen yang selalu rosak. Misalnya, di Stesen Kereta Api Kuala Kangsar, lif yang rosak lebih daripada tiga bulan masih tidak diperbaiki.

Selain itu, saya amat berharap diutamakan tayangan dokumentari tempat-tempat menarik di Malaysia dan bukannya filem-filem Hollywood seperti sekarang.

SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL

Ampangan, Seremban