Yang nyata, amalan kecam mengecam, hentam menghentam dan hina menghina menjadi permainan keba­nyakan politikus negara ini. Kita dapat menyaksikan dengan jelas bagaimana nafsu ‘amarah politik’ mengheret para pemimpin kita bersengketa sesama sendiri sehingga mereka lupa bahawa hakikat dan tujuan berpolitik adalah untuk mengangkat maruah dan martabat bangsa dan agama.

Politik kebencian terus menjadi amalan kebanyakan politikus semata-mata kerana dendam dan keinginan kepada kuasa sehingga sanggup berpatah arang, berkerat rotan.

Petunjuk wahyu diketepikan. Adab bukan lagi menjadi pakaian mereka. Politikus kita gagal kembali kepada roh Islam yang menekankan perpaduan dan persaudaraan Islamiah. Perpecahan Melayu membuka ruang dan peluang kepada musuh yang memang mahu melihat Melayu menjadi lemah.

Musuh terus licik mengatur strategi melemahkan kedudukan Melayu. Kita pula terus alpa dan tidak menyedari agenda mereka (musuh). Kemungkinan besar juga ada dalam kalangan pemimpin yang tidak sedar bahawa mereka ketika ini sedang dijadikan alat atau ejen serta proksi kepada musuh dari luar.

Jika keadaan ini berterusan maka situasi itu boleh menyebabkan kekuatan bangsa dan negara menjadi lemah. Justeru, pemimpin Melayu perlu kembali kepada meja rundingan sehingga terbina satu ikatan perpaduan yang dapat mempertahan kedaulatan tanah air, bangsa dan agama.

Untuk itu, kita mengharapkan ahli-ahli politik kita kembali kepada pemikiran dan emosi yang rasional serta berusaha mengembalikan gagasan perpaduan dan ukhwah Islamiah demi kepentingan dan masa depan ummah negara ini.

Saya akui bukan mudah parti-parti politik orang Melayu ini untuk duduk semeja, namun usaha itu bukanlah sesuatu yang mustahil jika gagasan ukhwah Islamiah ini dilihat dalam konteks luar kerangka kepartian.

Jika ini dapat dicapai barulah parti-parti politik Melayu dapat duduk semeja dan seterusnya membetulkan keadaan. Yang penting, mesti wujud kesedaran, keinsafan dan kepercayaan yang kukuh sesama pemimpin Melayu biarpun berlainan parti. Pemimpin Melayu perlu kembali melihat persoalan kelangsungan bangsa, agama dan tanah air.

Ahli politik kita mesti keluar dari­pada kemelut dan pertembungan politik yang semakin menajam dan tidak menguntungkan bangsa dan agama. Persaudaraan Islam adalah kuncinya. Ingatlah bahawa perpa­duan adalah asas kekuatan ummah.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Anfal ayat 46 yang bermaksud, “Dan taatlah kepada Allah dan RasulNya dan janganlah kamu berbantah-bantah yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah, sesungguhnya Allah bersama serta orang yang sabar.”

Apa faedahnya orang Melayu mempunyai banyak parti politik jika tujuan utamanya mahu menjatuhkan antara satu sama lain disebabkan dendam yang tidak berkesudahan. Segala kepentingan bangsa yang sepatutnya dipertahan dan diperjuangkan akhirnya tergadai.

Sengketa politik kita hanya menguntungkan pihak musuh yang mahu melihat bangsa Melayu-Islam di negara ini berpecah belah dan menjadi lemah. Musuh akan sentiasa berusaha mengadu domba secara halus sehingga kita akan bertelagah dan bermusuhan sesama sendiri.

Jika disorot dari warisan bangsa dan kedaulatan Islam di negara ini maka Melayulah yang menjadi terasnya. Namun, jika pemimpin politik Melayu terus bermusuhan sesama sendiri maka lemahlah kekuatan bangsa.

Justeru, kesedaran terhadap perlunya merangka gagasan dan permuafakatan politik baharu dalam mencorak masa depan sangat penting supaya kita dapat mengurus perubahan yang boleh menguntungkan ummah dan masa depan negara.

Persoalannya, mampukah keada­­an persengketaan politik yang sema­kin meruncing sehingga memecah belahkan bangsa Melayu itu diredakan? Siapa yang harus memulakan­nya? Inilah antara persoalan yang harus sama-sama kita difikirkan.

MOHD AYOP ABD RAZID

Selayang Baru, Kuala Lumpur.