Pelbagai kata-kata manis digunakan sebagai strategi menarik pelabur baharu. Antaranya anda ingin kaya? Melaburlah, nescaya anda boleh hidup senang. Bukan itu sahaja, anda juga boleh melancong ke luar negara dengan rasa gembira.

Maka berduyun-duyun bakal ‘orang kaya baharu’ melabur kerana selepas menghadiri seminar pelaburan yang menjanjikan kemewahan tanpa sedar yang mereka akan ditipu sehingga beribu mungkin berpuluh ribu ringgit.

Hal ini bukanlah perkara yang baharu. Pendedahan pelbagai kes penipuan me­libatkan pelaburan wang skim cepat kaya telah pun dibongkar sejak zaman ‘kegemilangan’ Pak Man Telo lagi.

Namun, dek kerana tamak dan mahu cepat kaya orang kita lupa semuanya itu. Mereka tetap mahu melabur ke dalam skim cepat kaya.

Cubalah fikir secara rasional sebelum menanggung penyesalan seumur hidup. Benarlah kata peribahasa, mendengarkan guruh di langit, air tempayan dicurahkan. Baru sahaja mendengar keuntungan, sanggup berhabis wang ringgit dalam simpanan.

Orang tamak selalu rugi. Lebih malang lagi, terpaksa menanggung hutang ber­puluh-puluh tahun dengan pihak bank semata-mata mahu melabur skim cepat kaya. Jika meminjam dengan ah long, sudah pasti padah akan menanti.

Hakikatnya, mentaliti orang Melayu kita perlu diubah. Tidakkah pelik rasanya jika kita dijanjikan dengan keuntungan lumayan walau hanya melabur dalam masa singkat? Tentu ada yang tidak kena.

Seandainya benar-benar ingin juga melabur, silalah buat pelaburan di institusi-institusi yang diiktiraf oleh kerajaan seperti Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) agar penipuan dapat dielakkan.

SN KAMPAR

Kampar, Perak