Peratusan keluar mengundi secara umumnya dipengaruhi beberapa faktor seperti cuaca buruk, wujud rasa tidak puas terhadap layanan parti, kecewa dengan pendekatan calon, bosan dengan pengolahan isu-isu tertentu terutama peribadi calon lain secara keterlaluan dan sebagainya.

Pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, kedudukan peratusan keluar mengundi seperti dilaporkan 79.3 %, atau hampir 80 %.

Ini suatu pencapaian amat serta memberangsangkan. Kebiasaannya sejak Pilihan Raya Umum (PRU) pertama 1959 hingga PRU-14, diperhatikan peratusan keluar mengundi untuk PRK amat jarang mencapai 70 % apatah lagi untuk lebih daripada itu.

Keadaan tersebut difahamkan mungkin disebabkan sikap sebahagian pengundi berasa selesa dengan kedudukan jumlah kerusi parti masing-masing dalam sidang DUN.

Selain itu difahamkan wujud tanggapan umum yang agak klasikal iaitu PRK tidak membawa kepada pertukaran kerajaan sedia ada.

Namun dilihat PRU-14 pada 9 Mei tahun lepas telah memberi kesan agak besar terhadap sikap serta mood pengundi.

Ini terutamanya melibatkan pengundi-pengundi baharu untuk keluar mengundi.

Ini terbukti yang mana sejak PRK pertama, DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos lalu hinggalah PRK DUN Rantau, peratusan keluar mengundi semakin berubah ke arah yang lebih baik.

Perubahan sikap positif pengundi ini sangat bermakna kepada sistem demokrasi di negara ini.

Adalah diharapkan ia akan berterusan pada PRK akan datang dan seterusnya.

SALLEH SAAD
Pesara Jabatan Penerangan