Tambah manis lagi, ia berlaku di bawah pentadbiran Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang baharu selepas hanya lima jam mengambil alih kerusi panas tersebut.

Apa yang saya boleh simpulkan sepanjang dua minggu berkampung di sini adalah kejayaan ini hasil daripada semangat kental keseluruhan pasukan.

Pemain Malaysia mempunyai mental yang amat kuat, positif dan sentiasa bersifat profesional dengan semangat kesukanan tinggi sepanjang kejohanan ini berlangsung.

Terdapat beberapa ‘gurauan manja’ oleh tuan rumah, Indonesia sepanjang kejohanan ini berlangsung. Seawal turun dari penerbangan di bumi Surabaya, skuad negara disambut dengan bas yang bermotifkan ‘Hello Kitty’.

Saya seakan terpegun dengan keunikan bas tersebut. Perkara ini jelas berbeza dengan pasukan lain di mana bas mereka menggunakan logo kelab bola antarabangsa seperti ‘Real Madrid’.

Saya sempat bergurau dengan wartawan Astro Arena tentang kemungkinan semangat ‘kucing’ ini kuat kerana semasa pilihan raya umum yang lepas, Menteri Belia dan Sukan baharu juga pernah digelar sebagai ‘anak kucing’ oleh seorang bekas menteri kanan.

Kedudukan padang latihan yang agak jauh dari tempat penginapan dengan kualiti yang seakan padang sekolah di Malaysia juga satu cabaran terhadap mental pasukan.

Saya berani katakan bahawa padang bola Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang berada di ceruk Nilai, Negeri Sembilan adalah lebih baik. Pertindihan jadual latihan antara Malaysia dan Laos ketika sesi kumpulan juga sesuatu yang boleh dielakkan penganjur.

Insiden yang berlaku semasa perlawanan menentang tuan rumah pada saingan separuh akhir pula memperlihatkan penyokong Indonesia masih belum matang untuk memahami erti sebenar semangat kesukanan.

Tindakan mereka melakukan bunyi bising semasa lagu Negaraku dimainkan adalah satu perkara yang jelas menunjukkan kurangnya rasa hormat kepada Malaysia.

Sewajarnya sikap positif pemain Malaysia yang langsung tidak melakukan provokasi mengelakkan huru-hara sepanjang perlawanan berlangsung di hadapan lebih 28,000 penyokong Indonesia menjadi contoh kepada semua.

Pujian juga harus diberikan kepada jurulatih Malaysia, Bojan Hodak yang awal lagi sedar para pemain perlu diterapkan kesediaan dengan ‘permainan mental’ dalam kejohanan ini.

Sesungguhnya kejayaan ini adalah permulaan bagi kalendar bola sepak negara yang amat padat selepas ini di mana skuad bola sepak negara akan menyertai AFF bawah 16 tahun di lokasi yang sama,

AFC bawah 16 Tahun di Kuala Lumpur, Sukan Asia di Palembang, AFC bawah 19 Tahun di Jakarta, Indonesia dan AFF Suzuki di Vietnam. Semoga kejayaan ini menjadi episod awal bagi kejayaan yang akan datang.

ABDULLAH FIRDAUS

Kuala Lumpur