Dengan usia baru 25 tahun menjadikan pelantikan beliau sebagai menteri yang termuda dalam sejarah barisan menteri Kabinet Kerajaan Malaysia.

Kepercayaan yang diberi oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk melantik Syed Saddiq adalah suatu pencapaian baharu dalam kesinambungan belia membawa legasi barisan kepimpinan mewakili suara orang muda dalam negara ini.

Dalam hal ini, suara belia pasti akan menjadi agenda dan fokus pembangunan utama dalam meneroka kepemimpinan baharu menteri muda itu. Oleh itu, adalah diharapkan nasib dan masa hadapan kepemimpinan belia akan terus terbela dan terus maju selaras dengan cabaran masa kini.

Belia di negara ini terutama para atlet akan mendapat lebih ruang dan peluang bagi membuktikan bakat dan kebolehan mereka untuk sama-sama memacu kejayaan dalam pelbagai lapangan sukan negara.

Dengan itu, buat masa terdekat semua rakyat terutama golongan muda perlu bersabar bagi memberi peluang kepada Menteri Belia dan Sukan baharu membentuk acuan kepemimpinan dan seterusnya menggarap intipati pentadbiran beliau.


OUI BIN SAL

Tanah Merah, Kelantan