Sebenarnya pendidikan tahfiz di negara ini sering dianggap sebagai alternatif pendidikan kelas kedua oleh kebanyakan lapisan masyarakat. Pelajar-pelajar tahfiz dikatakan hanya layak membicarakan tentang soal agama sedangkan dengan ilmu naqli dan aqli di pusat tahfiz, mereka mampu menggoncang dunia seperti cendekiawan Islam pada satu ketika dahulu.

Mungkin tragedi ini juga boleh menjadi titik tolak ke arah mentransformasi sistem pendidikan tahfiz yang selama ini berada di luar aliran pendidikan arus perdana. Bagi saya sudah tiba masanya pusat-pusat tahfiz diuruskan secara lebih tersusun serta bersistematik termasuk berkaitan dengan penyediaan premis-premis untuk pusat pembelajaran serta asrama kediaman anak-anak hafiz.

Dengan kata lain, pusat-pusat tahfiz di seluruh negara perlu diletakkan dalam aliran pendidikan arus perdana dan bukannya seperti sekarang. Tujuannya adalah untuk memudahkan kerajaan melakukan pemantauan secara langsung dari segala aspek.

Antara yang mendesak dalam soal keselamatan pelajar. Jika isu ini yang menjadi tumpuan sudah tentu melibatkan standard premis yang dijadikan sebagai pusat pengajian dan asrama penuntut tahfiz. Isu ini perlu dibangkitkan kerana selaras dengan salah satu prinsip maqasid syariah iaitu menjaga nyawa.

Justeru adalah amat diharapkan pusat-pusat tahfiz sedia ada di seluruh negara mematuhi garis panduan serta syarat-syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) demi keselamatan para pelajar tahfiz ini. Sememangnya tidak dinafikan ramai antara kita yang berupaya mewujudkan pusat-pusat tahfiz sendiri namun mampukah masing-masing memastikan kelestarian pusat ini sekurang-kurangnya untuk tempoh 10 tahun akan datang?

Ini yang kadang-kadang meragukan saya. Saya percaya ramai pihak yang berkemampuan mewujudkan pusat tahfiz, namun persoalannya dari manakah datangnya sumber untuk memastikan daya tahan dan daya saing pusat-pusat ini supaya kekal relevan menongkah arus zaman.

Oleh itu, usahlah dihairankan jika masalah anak-anak kecil dieksploit mengutip derma atas nama pusat tahfiz gagal diselesaikan sehingga kini. Maka campur tangan daripada kerajaan amat diperlukan dalam usaha memastikan pusat-pusat tahfiz tersebut tidak putus dana.

Faktor seterusnya berhubung keperluan campur tangan kerajaan dalam sistem pendidikan tahfiz adalah untuk mengelakkan berlakunya penularan ajaran sesat dalam kalangan masyarakat Islam negara ini. Sikap melabel ‘asalkan pakai serban sudah semestinya ustaz’ perlu diubah kerana kita perlu melihat secara terperinci setiap kandungan pengajaran yang disediakan untuk anak-anak kita.

Langkah kerajaan mengawasi sistem pendidikan tahfiz juga mampu mengelakkan penularan fahaman Islam radikal atau ekstremis. Penularan fahaman radikal seperti Daesh perlu dibendung daripada peringkat akar umbi lagi.

Di luar negara, propaganda ajaran ekstremis mula diterapkan sejak dari kecil lagi dan kita tidak menolak kemungkinan terdapat golongan yang mengintai peluang merekrut anak-anak tahfiz bermula daripada peringkat kanak-kanak lagi. Fenomena ini adalah amat membimbangkan bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia.

Faktor seterusnya adalah tentang keperluan mewujudkan kurikulum standard yang boleh diterima pakai dalam proses pembelajaran anak-anak ini. Saya sedar disebabkan tiada penyelarasan sistem pendidikan tahfiz ada antara anak-anak ini tidak dapat menghafaz al-Quran dengan lancar.

Dalam pada itu, para tenaga pengajar perlulah sekurang-kurangnya mempunyai kepakaran untuk mendidik anak-anak lebih-lebih lagi dari segi pendidikan awal kanak-kanak.

Faktor terakhir ialah masa depan anak-anak yang terbabit. Kita mahu pelajar-pelajar lepasan pusat tahfiz boleh hidup dalam masyarakat dan mampu berdiri atas kaki sendiri selepas mereka tamat pengajian. Memperkenalkan subjek seperti keusahawanan boleh menjadi opsyen kerjaya kepada anak-anak ini.

Akhir kata, pembabitan kerajaan dalam mengawasi pusat-pusat tahfiz ini janganlah dilihat sebagai pengawasan dari ‘abang besar’. Adalah sewajarnya pengawasan dari pihak berkuasa dilihat sebagai garapan strategi lautan biru yang akhirnya melahirkan golongan huffaz yang mampu mengorak perubahan dalam landskap sosioekonomi negara.

MOHAMMAD 
NOORIZZUDDIN NOOH

Pensyarah Kanan

Fakulti Ekonomi dan Muamalat

Universiti Sains Islam Malaysia