Ini sudah tentu menjadikan Tabung Haji sebagai model serta kebanggaan seluruh umat Islam di negara ini.

Matlamat asalnya bermula hanya untuk membantu umat Islam dipermudahkan segala urusan menunaikan haji.

Susulan daripada itu, agensi itu terus melangkah dan kini menjadi gergasi ekonomi negara.

Urusan pentadbiran yang tersusun dan bersistematik Tabung Haji dengan dibantu pakar-pakar ekonomi berkaliber serta kreatif ini telah memberikan banyak manfaat kepada ahli-ahli agensi itu.

Difahamkan, dalam soal menunaikan haji, agensi itu mampu memberikan subsidi sebanyak RM7,290 bagi setiap jemaah haji di mana sepatutnya harga pakej dikenakan ialah sebanyak RM17,270.

Doa ikhlas dan usaha gigih pentadbiran Tabung Haji membawa keberkatan di mana dengan adanya usaha pelaburan bijak menjadikan agensi tersebut bertambah maju dan kukuh.

Kini Tabung Haji mempunyai 125 cawangan di seluruh negara dengan lebih daripada sembilan juta pendeposit.

Saya cadangkan agar Tabung Haji melaburkan pula dalam sektor perniagaan dengan membina pusat-pusat membeli-belah mega kerana ia bukan sahaja dapat membantu ekonomi agensi itu sendiri, juga akan menjadi kebanggaan kaum bumiputra.

Akhir kata, Tabung Haji adalah model kepada negara-negara Islam yang lain.

Semuanya kerana keberkatan dan tanggungjawab pegawai serta kakitangan agensi berkenaan yang telah banyak membantu.

SYED ABDULLAH 
SYED OSMAN

Ampangan, Seremban