Keprihatinan beliau berkaitan hal-hal semasa ibadah haji termasuk kefarduan seorang Muslim menunaikan haji iaitu berkemampuan dari segi kewangan, keselamatan semasa perjalanan pergi balik dan kesihatan baik serta pandangannya mengenai jumlah subsidi haji tinggi ditanggung Tabung Haji setiap tahun juga amat kami hargai.

Tabung Haji ditubuhkan pada 1963 untuk membolehkan orang Islam menyimpan secara beransur-ansur bagi memenuhi perbelanjaan menunaikan haji. Atas keprihatinan kerajaan dan kewangan teguh Tabung Haji telah membolehkan Tabung Haji memberi subsidi haji bagi meringankan beban kewangan bakal jemaah. Salah satu tonggak misi Tabung Haji untuk umat Islam Malaysia ialah menjaga kebajikan jemaah haji semasa di tanah air dan Tanah Suci.

Pihak Tabung Haji juga mengambil maklum di atas cadangan IBRAHIM berkaitan pendidikan. Tabung Haji menerusi aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) setiap tahun mengadakan Program Iqra’ yang menyasarkan pelajar asnaf di samping menganjurkan kursus kecemerlangan pendidikan melalui Kelab TaHa untuk pelajar sekolah dan universiti.

Usaha dilakukan secara konsisten itu bertepatan dengan prinsip-prinsip Islam dan pendirian Tabung Haji sebagai sebuah organisasi prihatin. Tabung Haji akan terus melaksanakan pelbagai program CSR yang memberi manfaat kepada rakyat di seluruh negara, sejajar dengan aspirasi untuk berkongsi kejayaan dengan semua ummah.

BAHAGIAN HAL EHWAL DAN KOMUNIKASI KORPORAT KUMPULAN LEMBAGA
 TABUNG HAJI

Kuala Lumpur