Saya secara peribadi sedikit hampa kerana calon yang saya harapkan menang tidak mendapat sokongan daripada perwakilan. Tidak mengapalah, barangkali percaturan saya tidak selari dengan kehendak perwakilan.

Namun, diharapkan semua perwakilan yang telah menunaikan tanggungjawab janganlah ada perasaan kesal, salah pilih atau ragu-ragu kerana perasaan itu akan melemahkan semangat perjuangan dan dikhuatiri mula berangan-angan mahu keluar parti.

Kepada pemimpin baharu UMNO, tugas sekarang ini amat berat dan getir. Perasaan selesa dan senang-lenang perlu dibuang. UMNO sekarang sudah kehilangan kuasa, kehilangan pengaruh, sudah ditolak dan dihina, UMNO sudah ‘dijijikkan’.

Bertambah malang lagi semua aset UMNO mahu dirampas. Biarkan mereka, UMNO tidak perlu membuang masa, tenaga dan wang ringgit melayan penganiayaan itu. Biarkan kerajaan melakukan kezaliman sesuka hatinya.

Anggaplah ini adalah peringatan Allah ingin menguji sejauh mana kesetiaan ahli-ahli UMNO dan setakat mana keikhlasan pemimpin-pemimpin UMNO.

Andai kata UMNO boleh bangun dan meyakinkan rakyat dalam keadaan serba kekurangan, ini adalah petanda UMNO sudah benar-benar pulih dan kembali kepada perjuangan asalnya.

Dalam tempoh lima tahun ini, UMNO perlu menagih simpati rakyat terutama sekali orang Melayu. Tidak ada apa lagi yang UMNO hendak janjikan kepada rakyat kecuali mengembalikan kemuliaan Islam, mengangkat kembali maruah orang Melayu dan kuasa Raja-raja Melayu.

UMNO mesti berani dan lantang mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu. Sedarkan anak bangsa terutama golongan muda yang lupa sejarah, bahawa hak kita sedikit demi sedikit telah dirampas.

Hak kita satu persatu telah dipersoalkan. Hak kita sudah mula diungkit. Adakah kita rasis kerana mempertahankan hak sejak turun-temurun?

Semua ahli UMNO mesti bersedia dan sanggup berkorban apa sahaja demi perjuangan mulia ini. Syarikat korporat mesra UMNO wajar menyumbangkan sedikit harta mereka.

‘Tabung Harapan UMNO’ sebagai mana yang dicadangkan oleh Ketua Pemuda, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki perlu dilancarkan segera. Insya-Allah saya akan menjadi penyumbang pertama.

Pemuda dan Puteri juga perlu agresif. Pemimpin baharu UMNO baik di peringkat Cawangan, Bahagian dan Pusat perlu segera bangkit. Perlihatkan bahawa perjuangan UMNO baharu sudah pun bermula.

CUCU TOK WOH

Chenor, Pahang