Untuk memastikan rakyat mendapat air setiap masa perlu infrastruktur yang mahal seperti empangan air, loji rawatan air, paip air tangki dan pam air berbagai saiz dan jenis.

Kos operasi rawatan dan agihan air memerlukan tenaga elektrik yang banyak (30 hingga 50 peratus) selain bahan kimia dan penggajian pekerja.

Antara cabaran besar dalam industri bekalan air ialah campur tangan politik yang keterlaluan serta pencemaran sumber air akibat aktiviti di sepanjang sungai dan kawasan tadahan.

Akibat kekangan kewangan kerana tarif air yang terlalu rendah, beberapa negeri menghadapi masalah kehilangan air (hasil) melalui kebocoran paip pada kadar 40 hingga 50 peratus kerana paip usang dan lama tidak mampu diganti. Selain itu ada juga yang tidak mampu membayar bil Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang berjumlah jutaan ringgit.

Saya mengesyorkan agar bekalan air diuruskan oleh syarikat milik kerajaan (GLC) seperti TNB dan Telekom Malaysia Berhad (TM) agar lebih lestari berbanding sekarang.

Pihak kerajaan negeri dan Pusat perlu duduk semeja berbincang demi kepentingan rakyat dan kemajuan negara. Situasi menang-menang perlu diwujudkan contohnya saham syarikat air dikongsi bersama antara negeri dan Pusat.

ABU ASLAM
Bandar Baru Bangi