Dato Ombi Pangkal Maharaja Lela, Kadim Kidam ialah orang yang bertanggungjawab mempengerusikan mesyuarat yang pertama pada 26 Ogos lalu setelah mendapat mandat daripada Panel Jawatankuasa Khas Dewan Keadilan dan Undang apabila semua kedudukan Dato-Dato Lembaga telah dipilih mengikut lunas-lunas adat.

Yang tidak hadir ialah Dato Menteri Sah Mangku Alam Raja Sari, Ismail Mohd. Zain kerana membantah dan mencabar keputusan panel berkenaan yang mengesahkan giliran penyandang Dato Lembaga Maharaja Inda adalah 
daripada perut Bemban. Ismail mahu giliran itu diberi kepada perut Kemin.

Jawatan Dato Lembaga Maharaja Inda kini sah disandang oleh Mohd. Nordin Mansor.

Pada majlis kerjan dan pemasyhuran Mohd. Nordin pada 28 Julai lalu, Ismail tidak datang walhal tujuh Dato-Dato Lembaga yang lain hadir merestui pelantikan itu.

Kehadiran tujuh Dato-Dato Lembaga ini jelas menggambarkan keputusan yang telah dibuat mendapat sokongan majoriti. “Ikut pada sokongan ramailah,” tegas Kadim.

Pada 14 Oktober lalu, Kadim sekali lagi mengadakan mesyuarat dengan Dato-Dato Lembaga. Tetapi kali ini mengambil keputusan memutuskan pemasyhuran Ismail sebagai Dato Menteri Sah Mangku Alam Raja Sari oleh panel ditarik balik.

Mesyuarat Dato-Dato Lembaga berpendapat Ismail bukan sahaja tidak menghormati keputusan panel terbabit, tetapi tidak menjalankan tanggungjawabnya hingga beliau tidak mendapat sokongan lagi.

Selaras dengan langkah terbaharu ini, mesyuarat Dato-Dato Lembaga mengambil keputusan, bahawa penggiliran Dato Menteri Sah Mangku Alam Raja Sari diserahkan kepada perut Mengkan untuk mengemukakan calon rasmi mereka.

Kadim telah memaklumkan langkah terbaharu itu kepada panel berkenaan. Pada waktu yang sama, Dato Lembaga Maharaja Inda yang baru dilantik, Mohd. Nordin telah mengedarkan borang pencalonan ketua adat Dato Undang Luak Jelebu yang baharu.

Krisis pelantikan Dato Undang Luak Jelebu itu adalah antara episod yang terpanjang bagi menggantikan Musa Abdul Wahab yang meninggal dunia pada 11 September 2014.

Kelewatan ini menarik perhatian masyarakat beradat yang mempersoalkan peranan pengamal adat, “Apakah prinsip adat sudah tergadai!”

WARIS LUAK JELEBU

Negeri Sembilan