Kemenangan itu harus diambil pengajaran oleh Pakatan Harapan yang kempen mereka pada PRK itu dicemari dengan pelbagai insiden termasuk isu yang tular dalam media sosial berkenaan gambar seorang wanita memakai baju pakatan itu didakwa cuba memberi rasuah dalam bentuk wang tunai kepada pengundi Orang Asli.

Pakatan Harapan nampaknya tidak mengambil pengajaran atas apa yang berlaku kepada bekas Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk C. Sivarraajh yang telah dibatalkan kemenangannya kerana keputusan mahkamah yang mendapati terdapat amalan rasuah yang diketahui dan mendapat keizinan beliau sendiri semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Persoalan yang ingin penulis kemukakan adakah Pakatan Harapan cuba meludah ke langit dengan melakukan perkara sama sedangkan sebelum ini kononnya mereka membantah politik wang yang dilakukan oleh BN pada setiap kali berlangsungnya pilihan raya?

Sebagai seorang mahasiswa, saya berpendapat politik wang adalah satu budaya tidak sihat untuk diamalkan oleh mana-mana parti di Malaysia kerana akan menyebabkan pilihan raya yang diadakan tidak memberikan apa-apa makna kepada rakyat kerana mereka tidak boleh menentukan secara telus pemimpin mana yang akan menjadi wakil mereka dan juga memimpin negara.

Bagaimanapun, disebabkan masih belum ada bukti tentang kesahihan gambar tersebut, penulis amat berharap agar kita semua memeriksa terlebih dahulu sesuatu gambar atau apa-apa berita yang tersebar supaya maklumat yang diterima benar-benar 
sahih.

Dalam pada itu, saya berharap politik wang tidak lagi wujud dalam era Malaysia Baharu apabila Kerajaan Persekutuan mencanangkan mengenai hasrat untuk melakukan reformasi terhadap pentadbiran supaya lebih telus dan cekap.

Saya juga berharap jika dakwaan ini ternyata benar, pihak berwajib akan mengambil tindakan yang sepatutnya tanpa berat sebelah kepada mana-mana pihak. Jika perkara ini palsu maka diharapkan agar orang yang menyebarkannya dapat ditangkap dan didakwa dengan setimpal atas apa yang dilakukannya.

Masyarakat juga dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dengan sebarang berita yang tersebar kerana dikhuatiri setelah kita menyebarkannya, terbukti perkara tersebut adalah palsu dan telah menimbulkan kekecohan dalam kalangan masyarakat. Kita tidak mahu keamanan negara diganggu-gugat disebabkan oleh berita palsu.

ABDUL AZIM AZMI

Timbalan Yang Dipertua 2, Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM)