Perlu diakui kemilikan Pulau Batu Puteh bukan sekadar isu sejarah atau isu maruah, isu akarnya ialah geopolitik yang berkait rapat dengan keselamatan Malaysia. Dan paling utama, ia terletak dalam wilayah negeri Johor.

Akhirnya, Menteri Besar Johor memberikan maklum balas terhadap isu Pedra Branca yang dipetik oleh portal berita freemalaysiatoday.com. Malangnya, jawapan beliau cukup menghampakan, tidak patriotik dan tidak mewakili semangat penduduk Johor.

Jawapan beliau cukup mudah; “Saya kurang arif tentang sejarah dan perjalanan Batu Puteh semasa dibawa ke ICJ dahulu sebabnya saya masih baharu. Kalau itu keputusan Kerajaan Persekutuan bermakna mereka lebih mengetahui dalam soal ini, bermakna saya kena akur.”

Beliau adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas selama tiga penggal sewaktu di dalam UMNO dahulu. Beliau antara pemimpin yang paling lama berkhidmat dalam Sidang DUN Johor. Bagaimana beliau boleh mengeluarkan kenyataan tidak tahu tentang soal ini?

Keduanya, adakah salah berlainan pendapat dengan Putrajaya dalam soal hak dan maruah negeri ini untuk berani mempertahankan dan menuntut kedaulatan di Pulau Batu Puteh?

Seperti semua sedia maklum, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda, akan mengadakan pendengaran awam berhubung permohonan Malaysia bagi interpretasi penghakiman ICJ mengenai kedaulatan Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh dari 18 hingga 22 Jun ini.

Sejujurnya, sebagai anak Johor, tuntutan ke atas Pulau Batu Puteh menjadi keutamaan yang sangat penting.

FIKRI ALLAUDIN

Persatuan Pemikir Muda Johor