Akan tetapi, pada pendapat saya, elok juga dimasukkan topik-topik yang sama penting juga ke dalam senarai tersebut iaitu kontrak sosial dan ketuanan Melayu. Ini adalah kerana beberapa orang cucu saya di bangku sekolah menengah dan sekolah rendah ada memberitahu saya berhubung kawan-kawan mereka dalam kalangan bukan bumiputera sering bertanya: “Mengapakah bumiputera mendapat lebih keistimewaan daripada kami yang juga dilahirkan dan dibesarkan di tanah air yang sama?” Cucu-cucu saya menjawab “Tak tahu!”

Jadi, saya terpaksa menerangkan kepada mereka erti kontrak sosial dan ketuaan Melayu dengan panjang lebar. Oleh yang demikian, adalah penting topik-topik kontrak sosial dan ketuaan Melayu diajarkan di sekolah-sekolah supaya murid-murid bukan bumiputera boleh memahami dan menghargai sebab-sebab sebenarnya mengapa ketidaksamaan itu berlaku dan dapat menghormati hak-hak istimewa bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dengan secara begitu, ia akan memadamkan bara api yang boleh menyebabkan ketegangan antara kaum dari semasa ke semasa. Diharapkan akhirnya generasi masa depan akan hidup dalam suasana yang tenang dan harmoni. Insya-Allah.

Saya berharap YB akan memberi pertimbangan mendalam atas perkara ini.

Sekian. Terima kasih.

DATUK MOHD. NOOR AHMAD

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan