Sebenarnya telah pun kami jelaskan bahawa pengenalan DLP oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada sekolah seluruh Malaysia (secara terhad pada awalnya) adalah dengan penuh helah atau “muslihat”. Bermula dengan kira-kira enam soalan soal selidik, pemakluman hanya dalam akhbar berbahasa Inggeris, kaedah menjawab melalui internet yang terhad capaiannya kepada mereka yang celik komputer dan majoriti di bandar, terbuka kepada “manipulasi” kerana boleh dijawab secara berulang-kali walaupun oleh responden yang sama dan lain-lain lagi. Malah pelaksanaan DLP juga awalnya secara “senyap dan sembunyi”. Kami percaya ini dibimbangi akan menimbulkan protes yang bertalu-talu seperti protes PPSMI terdahulu.

Oleh itu “DLP” wajib ditolak dan dimansuhkan serta-merta. Penulis dan rakan-rakan sejak dari awal pemansuhan PPSMI lagi menduga, akibat pemansuhan beransur-ansurlah atau soft-landing maka DLP berpeluang dikemukakan oleh PEMANDU di Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama “PADU” di KPM kononnya sebagai “program” dan “sukarela” berbanding, PPSMI yang “dipaksa”. Sebenarnya paksaan atau sukarela bukanlah isu dasar terpenting. Dasarnya tetap sama iaitu melibatkan pengajaran Sains dan Matematik serta teknologi dalam bahasa Inggeris.

Jadi ini adalah umpama “rompakan di siang hari” oleh KPM sendiri yang mencabul keputusan pemansuhan PPSMI oleh kerajaan lama. Sepatutnya KPM menasihatkan menterinya yang baharu tentang dasar utama pendidikan dan bukan turut mengambil peluang melanggar segala dasar, undang-undang, akta berkaitan. Kita percaya tidak sedikit undian memihak kepada PH adalah dengan harapan untuk membaiki segala keburukan kerajaan terdahulu termasuk membatalkan DLP dan bukan isu 1MDB sahaja. Malang sekali jika KPM di bawah YB dan kerajaan PH hingga kini tetap meneruskan malapetaka DLP ini. Berubahlah segera YB, kerana tidak mustahil undian rakyat berubah kepada yang lain dalam PRU akan datang.

Baru-baru ini YB berpeluang bersama-sama Perdana Menteri dalam lawatan kerja ke Jepun. Penulis juga pernah tinggal di sana kira-kira dua tahun, dua-puluh lima tahun lalu dan masih mengagumi budaya bangsa Jepun. Memang wajar YB terpesona, dan terpanggil untuk mengadaptasi tentang penyediaan makanan oleh sekolah Jepun untuk dilaksanakan di Malaysia. Penulis tidak pasti sama ada YB terkesan atau tidak akan Jepun yang amat berbangga dengan bahasanya. Jepun amat maju. Tetapi umpama pepatah Rom tidak dibina dalam masa sehari, tidakkah seribu langkah bermula dengan langkah yang pertama?. Tun Mahathir yang memperkenal Dasar Pandang ke Timur (DPT) pun seolah-olah terlepas pandang Jepun yang bangga akan bahasa dan budayanya sama ada di negara sendiri atau di luar Jepun. Atau Tun dan YB juga terlupa sejarah bahasa Melayu pernah dan mampu menjadi bahasa sains dan teknologi jika semangat “Malaysia Boleh” diamal mengikut acuan sendiri.

Jika asalnya pada 1970-2003 Matematik, Sains dan Teknologi di sekolah hingga universiti diajar dalam bahasa Melayu, tidakkah bahasa Melayu hancur sebagai bahasa sains dan teknologi apabila era PPSMI dan kini DLP ditukar kepada bahasa Inggeris secara muslihat dan mengikut nafsu anglophile yang “mabuk” bahasa Inggeris? MRSM turut terlibat menghancurkan bahasa Melayu. Nasib malang bahasa Melayu di tangan pemimpin sendiri. Pengajaran sains dan matematik di kolej-kolej matrikulasi KPM pun ditukar kepada bahasa Inggeris sejak PPSMI oleh pimpinan matrikulasi yang turut “mabuk”.

Sejarah kejayaan

Terbaharu, mulai 2018 Perakaunan Matrikulasi KPM juga ditukar kepada bahasa Inggeris.

Marilah YB kita menoleh sejarah kejayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sejak Dasar Pelajaran Kebangsaan 1970 dahulu. Segalanya telah memungkinkan medium bahasa Inggeris ditukar beransur-ansur kepada bahasa Melayu sehingga lengkap pada tahun 1982 dahulu atas usaha mantan Menteri Pelajaran pada ketika Dasar Pelajaran Kebangsaan mula dilaksanakan. Almarhum Tun Abdul Rahman Yaakob telah meletakkan asas yang begitu cemerlang bagi pendidikan di Malaysia. Kini sudah terbalik kuang kata orang utara. Tidak sampai tiga dekad tangan-tangan pemimpin kita sendiri telah memusnahkan segala yang baik itu tanpa menghiraukan segala teguran dan pandangan para pakar pendidikan, pakar bahasa, pakar pedagogi, sasterawan, budayawan dan cendekiawan. Orang politik dan menteri seperti bijak dalam semua hal. Dan kerana PPSMI, dan kini DLP kepustakaan bahasa Melayu terbantut hampir sepuluh tahun.

Pembetulan perlu dilakukan segera, batalkan DLP, walaupun ada tentangan daripada kumpulan anglophile yang sentiasa mencari-cari peluang untuk meletakkan neraca dan jarum mereka. Bagi mereka, lulus jarum luluslah kelindan. YB, kita perlu menguasai bahasa Inggeris dan bahasa lain dengan cara yang betul tetapi kita tidak perlu “mabuk” bahasa Inggeris.

Seperkara lagi kami turut terkilan akan pemilihan anggota Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan yang jelas majoritinya kecuali pengerusi merupakan penyokong tegar PPSMI atau pelopor DLP bagi KPM terutama PAGE. Tiada dalamnya budayawan, sasterawan, bahasawan yang juga unsur terpenting bagi pembinaan sesebuah negara bangsa. Mana mungkin kita mengharapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu sains dan teknologi akan terbela oleh mereka yang kelihatannya tidak insaf bahawa bahasa Melayu bukan sahaja mampu hatta pernah menjadi bahasa sains dan teknologi di universiti.

Telah terbukti dahulu Fakulti Pergigian Universiti Malaya pernah diiktiraf badan berwibawa di England walaupun kuliahnya dalam bahasa Melayu. YB pasti bersetuju bahawa kualiti bukan terletak kepada bahasa penghantar tetapi kepada kandungannya. Jika “hampas” yang dikuliahkan walaupun dalam bahasa Inggeris, hampaslah mutunya. Senario lain seperti keadilan juga begitu. Keadilan bukan hanya dalam bahasa Inggeris. Jika begitu, semua perbicaraan di mahkamah Jepun, Korea, China, Jerman, Sepanyol, Perancis tidaklah adil?

Bahasa Melayu mempunyai kekuatan tersendiri. Proses serapan atau pinjam-terjemah dapat berperanan membantu sesuatu bahasa itu berkembang. Bahasa Inggeris juga asalnya bahasa petani yang diperjuang dan diangkat oleh bangsanya menggantikan bahasa Anglo-Saxon, Latin yang begitu agung satu ketika dulu bagi golongan bangsawan di sana. Tentunya YB tidak mahu bahasa Melayu “dinasibkan” seperti bahasa Anglo-Saxon atau Latin itu?

Akhirnya, kami berharap YB tidak percaya dua fitnah besar. Pertama kami benci akan bahasa Inggeris kerana bahasa penjajah. Kedua, kami tidak mahu rakyat Malaysia pandai berbahasa Inggeris. Itu momokan golongan anglophile. Kami sedar semua bahasa adalah anugerah Tuhan, perlu diraikan, dikuasai sebaik mungkin. Menguasai banyak bahasa satu kelebihan. Tetapi dalam konteks negara ini tentulah status, martabat dan peranan atau fungsi bahasa rasmi wajib dibezakan, diletak di tempat tertinggi berbanding bahasa lain. Kami tidak pertikaikan akan penguasaan bahasa Inggeris. Yang kami pertikaikan ialah kaedah untuk memandaikan anak Malaysia dengan bahasa Inggeris berdasarkan ilmu pendidikan dan pedagogi. Tetapi hal lain yang berlaku. Lain yang luka lain yang dibebat dan itu sudah jadi seperti orang mabuk. Bukankah yang terbaik itu kaedah atau pedagogi bahasa Inggeris itu yang perlu diteliti, dikemas kini dan diperbaiki?.

Banyak pakar pendidikan, pakar bahasa, pakar pedagogi dan lain-lain boleh YB rujuk. Tetapi berhati-hatilah kerana jika terlalu banyak cef pun, bubur boleh hancur? Moga-moga bahasa Melayu tidak terus dikuburkan oleh pimpinan bangsanya sendiri. Ayam bukan sahaja boleh mati dengan cara disembelih tetapi juga dengan cara tidak diberi makan.

KAMAL SHUKRI ABDULLAH SANI,

Timbalan Presiden, Persatuan Linguistik Malaysia (PLM)