MASZLEE MALIK

KEPADA yang berhormat, Dr. Maszlee Malik. Pertama sekali Islamic and Strategic Studies Institute (ISSI) ingin mengucapkan tahniah dan syabas atas pelantikan sebagai Menteri Pendidikan Malaysia.

ISSI berpendapat Kementerian Pendidikan yang diamanahkan kepada beliau adalah kementerian yang sangat strategik bagi membentuk generasi baharu Malaysia sekiranya Dr. Maszlee ingin menjadikan perubahan politik tanah air yang sedang dialami lebih bermakna dan memberikan impak hakiki kepada masyarakat.

Dalam kesempatan ini, ISSI ingin melontarkan sedikit pandangan kepada sebagai input yang boleh dipertimbangkan bagi membina visi dan mengatur strategi kementerian tersebut.

Corak pembentukan akal budi dan jiwa nurani insan-insan dari peringkat sekolah sehingga ke universiti yang tertakluk dalam wenangan Dr. Maszlee akan menentukan jati diri dan daya saing sumber manusia yang bakal lahir dalam era Malaysia baharu kelak.

Justeru, ISSI berpendapat proses pencanaian warganegara pelapis mestilah dibuat dengan tujuan memperkasakan potensi akal budi dan jiwa nurani mereka untuk menjadi insan-insan kritis dan kreatif dalam konteks menghayati kearifan agama dan budaya tempatan tetapi peka dengan tuntutan perkembangan semasa dan antarabangsa.

Untuk menghasilkan Malaysia baharu yang mampu berdaya saing di persada dunia, Dr. Maszlee mesti mengelakkan sistem pendidikan negara dari terjerumus sekali lagi menjadi alat atau instrumen penyerapan dan kepentingan mana-mana ideologi dan politik kepartian sama ada dari segi kandungan mahupun perlaksanaan pendidikan.

Secara prinsip dan amalannya, sistem pendidikan wajib bersifat non-ideologikal dan non-partisan atas dasar ilmu dan keadilan serta menekankan autonomi serta kebebasan bagi para pengamal pendidikan untuk membuat keputusan yang terbaik berpandukan kriteria dan standard ilmu yang lazim.

Sistem pendidikan yang tidak cemar ideologi dan politik serta mengamalkan autonomi akademik ditambah dengan profesionalisme pendidikan yang tinggi akan menjamin proses penghasilan bakal sumber warganegara Malaysia Baru yang boleh berdaya-saing menghadapi cabaran zaman dan lingkungan abad ke-21.

Ini menjadi prasyarat paling utama bagi menjayakan reformasi pendidikan yang berkesan bagi Malaysia baharu kerana proses pencanaian potensi insan yang berkesan tidak boleh dibuat secara sewenang-wenangnya mengikut gelagat dan kehendak orang-orang politik yang berkuasa tetapi sebaliknya memerlukan perlindungan dari segala macam gangguan politik.

Penyediaan infrastruktur budaya ilmu dan perlindungan pendidikan yang sihat, wajar pula disusuli dengan pengisian kandungan untuk ditanam dalam akal budi dan jiwa nurani insan-insan di bawah kementerian tersebut.

Formula mengajar bagaimana memancing ikan lebih baik daripada sekadar memberi ikan untuk terus dimakan, yang tidak berlaku dalam sistem pendidikan hari ini perlu diubah.

Ketrampilan kaedah berfikir, kerangka berfikir dan selok-belok berfikir mestilah menjadi keutamaan sistem pendidikan yang kreatif, inovatif dan produktif berbanding kaedah menyuapkan para pelajar dengan segala macam maklumat untuk dimuntahkan semasa peperiksaan di penghujung pembelajaran!

Bagi membina akal budi dan jiwa nurani yang kreatif, inovatif dan produktif ini, ISSI berpendapat pembinaan kekuatan analisis, logik dan metodologi wajar ditekankan secara lebih khusus merentas kurikulum dari sekolah sehingga ke universiti atas formula mengajar memancing ikan dan bukan memberikan ikan itu tadi.

Pendekatan analisis, logik dan metodologi ini jauh lebih meluas dan mendalam dari apa yang dinamakan kaedah Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang sedang berjalan ketika ini.

Kekuatan analisis, logik dan metodologi inilah yang sebenarnya telah membina peradaban-peradaban besar dunia seperti peradaban Yunani, peradaban Islam dan peradaban Barat ketika ini yang sepatutnya menjadi visi dan misi pendidikan Malaysia abad ke-21.

Analisis, logik dan metodologi ialah sumber penghasilan dan kekuatan ‘peradaban ilmu’ dari dulu sehingga sekarang. Peradaban Barat moden kuat dan berjaya ketika ini kerana penguasaan analisis, logik dan metodologi dalam semua disiplin ilmu dan dimensi kehidupan.

Dahulunya peradaban Islam menjadi cemerlang kerana meskipun dalam pelbagai kecenderungan dan penghasilan, kekuatan analisis, logik dan metodologi telah diperkenalkan oleh Imam Abu Hanifah, Malik, Al-Syafie, Ahmad Ibn Hanbal, Al-Ash’ari, Al-Maturidi, Al-Farabi, Ibnu Sina, Ibnu Haytham, Al-Biruni, Al-Juwayni, Al-Ghazali, Fakhruddin Al-Razi, Ibnu Rushd, Al-Taftazani, Ibnu Taymiyyah, Ibnu Arabi, Al-Rumi, Al-Shatibi, Al-Sanusi dan Ibnu Khaldun dalam membina dan mengembangkan pelbagai disiplin ilmu. Tradisi analisis, logik dan metodologi ini seharusnya diteruskan bagi merealisasi Peradaban Malaysia baharu.

Kelebihan kekuatan analisis, logik dan metodologi ialah ia berupaya merentas kaum, budaya dan agama. Ia berguna untuk semua rakyat Malaysia, orang Melayu, orang Cina, orang India, Orang Asli, orang Sabah dan juga orang Sarawak.

Justeru ISSI berpendapat sekiranya Menteri Pendidikan boleh melakukan sesuatu mengenai dua perkara ini. Pertama, perlindungan infrastruktur budaya ilmu dan sistem pendidikan profesional yang non-ideologikal dan non-partisan serta berautonomi; dan kedua, perlaksanaan pembentukan dan penerapan kekuatan analisis, logik dan metodologi dalam kandungan dan proses pembelajaran.

Akhirnya, ISSI berdoa semoga Dr. Maszlee dipermudahkan segala urusan dan ditunaikan segala hajat oleh Allah SWT dalam menjayakan amanah sebagai Menteri Pendidikan Malaysia.

DR. AMRAN MUHAMMAD 
Ketua Eksekutif ISSI