Pelbagai kenyataan telah dibuat untuk memperlekeh dan mendiamkan keluarga diraja Johor yang lazimnya amat lantang bersuara.

Terbaharu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat kenyataan bahawa Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak faham konsep Persekutuan kerana putera tersebut masih belum lahir lagi ketika Malaysia dibentuk.

Saya berharap kenyataan seperti itu tidak lagi dikeluarkan oleh mana-mana ahli politik Pakatan Harapan kerana ia akan mengguris hati rakyat Johor.

Kami amat sayang dan menyanjungi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan keluarga baginda kerana di negeri itu, rakyat dan raja berpisah tiada.

Lebih penting lagi, apa yang dikatakan oleh TMJ bukanlah omong-omong kosong tetapi mempunyai nilai dan kebenarannya.

Adakah salah TMJ menegur kerajaan agar berhenti berpolitik, mula mentadbir dan mengutamakan rakyat?

Apa yang dilakukan TMJ hanyalah menyuarakan suara hati rakyat walaupun mengundang kecaman Kerajaan Persekutuan.

Semua pihak harus ingat, Sultan Johor adalah raja pertama bersuara selepas 9 Mei mengingatkan semua pihak untuk menghormati keputusan rakyat dan pembentukan kerajaan baharu harus disegerakan.

Ini menunjukkan institusi diraja memainkan peranan penting dalam menasihati semua pihak tidak kira parti politik akan tanggungjawab masing-masing.

Siapakah yang boleh bersuara untuk rakyat jika raja-raja yang neutral dan tidak mewakili mana-mana parti politik tidak dibenarkan bersuara?

Zaman sekarang berbeza berbanding 1980-an dan 1990-an. Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang sebelum ini digunakan untuk mendiamkan rakyat tidak wujud lagi.

Dan ternyata kita sekarang lebih bebas untuk memberi pendapat mengikut Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan yang memberi kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

Baru-baru ini, rakyat berjaya menggesa Kerajaan Persekutuan untuk menurunkan harga minyak setelah sekian lama harga minyak dunia turun.

Dalam diam rupanya rakyat membayar lebih mahal daripada sepatutnya dan secara tidak langsung, kerajaan telah mengenakan cukai ke atas minyak berminggu-minggu.

Hanya dengan gesaan rakyat yang dibuat dalam media massa dan media sosial, kerajaan akhirnya sedar bahawa isu itu penting dan harus diselesaikan.

Mana mungkin isu seharian seperti kos sara hidup dibiarkan begitu sahaja oleh pemimpin yang sibuk berpolitik dan bercakaran sesama sendiri.

Jika orang awam atau raja yang mewakili rakyat tidak boleh menyuarakan pendapat dan pandangan, siapa lagi yang boleh bersuara untuk memastikan kepentingan orang ramai terus diutamakan?

Pemimpin Pakatan Harapan janganlah mudah melatah. Terimalah teguran ikhlas tersebut dengan hati terbuka kerana sememangnya rakyat sudah jemu dengan permainan politik yang tidak habis-habis.

FADHLI

Johor