Pada peringkat awal, kita melihat bekas Pengerusi FGV, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad mahu memecat Zakaria di atas alasan urus tadbir. Tetapi kini Pemangku Pengerusi FGV yang baru dilantik, Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob juga mahu memecat Zakaria kemungkinan atas alasan sama ada menjawab persoalan rasuah yang pernah ditimbulkan.

Isu utama sebelum ini menutup sesuatu salah laku yang berkaitan rasuah dalam kalangan beberapa ahli lembaga pengarah atau melindungi salah guna kuasa yang pernah diperkatakan. 
Saya dengan ini mahu mendapatkan penjelasan daripada Tan Sri Sulaiman Mahbob mengapa beliau bersama lima ahli lembaga pengarah yang lain menganggap bahawa Zakaria sebagai penghalang kepada agenda mereka.

Sulaiman harus tahu bahawa Presiden atau Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) adalah yang bertanggungjawab untuk mengurus dan mentadbir FGV. Kita semua mengetahui bahawa di dalam organisasi sesebuah syarikat atau ‘amalan korporat’ di dalam dunia ini, Presiden atau CEO adalah seseorang yang diamanahkan untuk mengurus atau mentadbir sesebuah organisasi.

Berkaitan informasi di dalam FGV, banyak antara yang diperkatakan telah disalurkan melalui aplikasi WhatsApp sehingga ada yang boleh menimbulkan salah faham dan salah pengertian kepada pembaca di kumpulan WhatsApp tersebut.

Sulaiman perlu menjelaskan perkara ini dan mengapa beliau seolah-olah mahu menjadi alat untuk kepentingan Mohd. Isa ketika Mohd. Isa tidak ada lagi di dalam Felda?

Sulaiman perlu lebih profesional dan sekiranya beliau tidak dapat menjawab segala persoalan ini, saya beranggapan eloklah sekiranya kita meminta Datuk Idris Jala dan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk masuk dan menyiasat agenda peribadi enam orang ahli lembaga pengarah FGV ini kerana saya melihat itu adalah jalan yang terbaik untuk menyelesaikan kemelut di FGV.



MUHAMAD FARID KAMARUDDIN


Ketua Penerangan


Gerakan Belia 4 B Kawasan Gombak