Harga yang ditawarkan pada waktu itu sangat menarik antara RM65,000.00 dan RM70,000.00 dengan saiz binaan 20kaki x 34kaki.

Ia dibina di atas sebidang tanah milik SSI di Kawasan Bukit Kinding yang terkenal sebagai kawasan eco- tourism. Pembeli berasa bertuah kerana SSI sanggup mengorbankan tanah itu untuk mendirikan rumah rakyat.

Tanah tersebut bukanlah tanah bekas lombong sebaliknya sebuah tanah asal kawasan yang berbukit.

Keputusan yang dibuat oleh SSI itu sangat bijak untuk meransang ekonomi Tanjong Rambutan dalam Mukim Hulu Kinta. Dalam masa sama jalan pintas juga sedang dibina dari kawasan itu ke Meru Raya.

Lokasi yang strategik telah menarik ramai pembeli membuat tempahan, lebih meyakinkan projek tersebut adalah projek di bawah anak syarikat Kerajaan Negeri Perak.

Bagaimanapun keriangan itu hanya bersifat sementara selepas tempoh 24 bulan kalendar rumah yang dibina gagal disiapkan.

Ia atas alasan pihak vendor iaitu Syarikat Kemajuan Zamin Sdn. Bhd. berhadapan kemelut untuk membayar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) melebihi RM1 juta ringgit kerana GST mula dilaksana pada 1 April 2015.

Projek ini dirancang sebelum GST dilaksanakan. Ketika taman ini dibina rejim cukai negara masih menggunakan pakai SST.

Pihak vendor juga berhadapan keputusan pihak SSI yang berubah-ubah mulanya hanya mahu bangunkan rumah kos rendah kemudian dinaik taraf kepada rumah kos sederhana. Ada perkara-perkara perlu ditanggung vendor apabila syarat ini diubah.

Misalnya, spesifikasi juga turut diubah bagi buat penyesuaian dari rumah kos rendah kepada kos sederhana.

Beberapa perkara sebelum ini dapat pengecualian bayaran apabila mendirikan rumah kos rendah. Sebaliknya rumah kos sederhana tiada pengecualian bayaran tertentu.

Keadaan ini menyebabkan pihak vendor perlu menambah kos pembinaan mereka. Ini menyebabkan kelewatan dan tergantung lama. Para pembeli rata-rata tidak mengetahui selok-belok membangunkan sebuah taman perumahan yang mempunyai 168 unit rumah.

Mereka juga tidak patut dipersalahkan kerana berdasarkan perjanjian dengan SSI dan pihak vendor rumah perlu disiapkan dalam tempoh 24 bulan.

Kini tempoh itu sudah lama tamat. Jika mengambil kira perjanjian ditandatangani pada Oktober 2013 maka sudah semestinya dua tahun selepas iaitu pada Oktober 2015 rumah disiapkan. Klausa 23(1) dan (2) perjanjian.

Jika mengambil kira tarikh tersebut, projek itu telah tersasar melebihi 1,200 hari atau tiga tahun lebih.

Dalam keadaan ini tentulah pembeli berasa resah kerana harga rumah telah mereka bayar secara tunai hingga 92.5 % berdasarkan progress billing.

Seramai 48 daripada pembeli rumah ini membeli secara tunai iaitu membuat bayaran secara progress billing selepas mendapat tuntutan daripada pihak vendor, setelah peratus tertentu pembinaan siap seperti dinyatakan dalam surat perjanjian.

Dalam masa yang sama mereka yang membeli melalui pinjaman kerajaan dan melalui pihak institusi kewangan maka pihak-pihak yang berkaitan sudah mula mengutip bayaran hutang setiap bulan

Padahal rumah belum siap dan pembeli masih menghuni rumah sewa. Maka kos kehidupan mereka meningkat dengan sesuatu perkara yang mereka bayar tetapi tiada hasilnya. Hakikatnya membayar rumah kosong.

Kelewatan siap membantutkan juga rancangan hidup seperti anak-anak yang mula bersekolah pada awal tahun, sama ada mahu menukar ke sekolah dari kawasan rumah sewa ke kawasan Tanjong Rambutan iaitu sekolah yang hampir dengan kawasan perumahan yang dibeli ini.

Lebih 165 pembeli berasa resah dan tertekan untuk menuntut pihak SSI mengambil tindakan proaktif bagi mengatasi kemelut kelewatan yang berbangkit ini.

Ia penting agar mereka tidak perlu menunggu lebih lama lagi untuk menghuni rumah yang dibeli melalui hasil tidak peluh sendiri dan dalam masa yang sama usaha untuk mengatasi beban hidup lebih 165 pembeli dapat dikurangkan.

PEMBELI RESAH

Ipoh