Seringkali panggilan tidak berjawab, dan jika diangkat kakitangan sekalipun, jawapan selalu menghampakan. Pelbagai alasan diberi termasuk pegawai berkenaan keluar minum pagi, makan tengah hari atau minum petang. Itu belum lagi panggilan dibuat selepas pukul 4 petang yang memang pasti tidak akan berjawab sebab masing-masing sudah standby mahu pulang! Persoalannya, bilakah masa tepat dan sesuai untuk orang awam menghubungi jabatan dan agensi kerajaan ini? Sebagai pekerja ‘veteran’, kesukaran kami untuk berurusan dengan mana-mana jabatan dan agensi kerajaan secara online, justeru panggilan dibuat untuk mendapatkan bantuan, namun panggilan selalu tidak berjawab.

Kesukaran juga berlaku ketika berurusan di bank. Kini, untuk mendapatkan penyata bank, seseorang perlu mendaftar secara online. Selain itu, urusan mendeposit wang juga harus menggunakan mesin deposit tunai (CDM). Anda boleh bayangkan pekerja ‘veteran’ seperti kami terkial-kial menggunakan CDM sehingga menyebabkan barisan panjang dan kemarahan orang. Tidak bolehkah pihak bank memberi pengecualian kepada warga tua seperti kami melakukan urusan secara manual di kaunter? Bukan apa, setidak-tidaknya pertimbangan sewajarnya diberi bagi memudahkan urusan pelanggan daripada pelbagai peringkat usia.

AZIL IRAAHS
Kuala Lumpur